Menteri Wilayah, Tan Sri Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP) tidak menyangka jumlah warganegara Malaysia yang mendiami sekitar kawasan Pasar Borong Kuala Lumpur kini mencecah 6,000 orang berbanding anggaran asal hanya 1,300 orang sahaja.

Menterinya, Tan Sri Annuar Musa bagaimanapun berkata, ia bukan alasan sebaliknya kerajaan meningkatkan bekalan makanan bagi memenuhi keperluan penduduk yang terjejas akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Angka terbaru menunjukkan jumlah penduduk terlibat dalam PKPD Pasar Borong KL ialah 20,166 orang. Daripada jumlah tersebut, 6,000 adalah warganegara kita.

“Kesemua warganegara sedang dibekalkan dengan bahan makanan yang mencukupi Insya-Allah… anggaran asal cuma 1,300. Kita usahakan tambahan,” katanya ketika menciap di Twitter miliknya, hari ini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mewartawakan pelaksanaan PKPD ke atas Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur dan kawasan sekitar Pasar Borong Kuala Lumpur bermula 20 April lalu.

Menurut Ismail Sabri, tindakan itu dilakukan atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pelaksanaannya akan bermula 20 April sehingga 3 Mei 2020. – MalaysiaGazette