Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Datuk Mohd Reza Mohd Sany.

KUALA LUMPUR – Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hari ini mengesahkan tidak ada dalam kalangan warganya atau keluarga mereka terlibat sebagai pesakit Covid-19 sejak 3 April lalu.

Statistik  itu harus dikekalkan dan warga TLDM harus terus berusaha mencegah penularan virus berkenaan, kata Panglima Tentera Laut Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany hari ini.

Bercakap dalam perutusan khas sempena Hari Ulang Tahun Sambutan TLDM ke-86 hari ini, beliau berharap setiap peringkat dalam kepimpinan TLDM bersama-sama melaksanakan langkah pencegahan dan pengesanan awal Covid-19 bagi memastikan warga the Navy People bebas dari jangkitan di samping mematuhi segala arahan kerajaan yang berkaitan.

“Saya juga berharap agar setiap warga menjaga sensitiviti semua pihak samada individu ataupun organisasi dengan tidak menyalahgunakan media sosial sebagai medium penyebaran maklumat yang tidak sahih atau palsu. Hal ini tidak akan membantu menyelesaikan masalah malah akan lebih mengeruhkan keadaan.

“Sebagai barisan hadapan atau frontliner, TLDM memainkan peranan penting bagi membantu kerajaan dalam usaha memutuskan rantaian pandemik ini selain pelaksanaan tugas teras untuk menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara,” katanya dalam perutusan khas sambutan itu.

Justeru, dalam perkembangan sama beliau turut menyeru agar warga the Navy People kekal fokus dengan tugas dan tanggungjawab masing-masing serta sentiasa positif dalam menghadapi segala kemungkinan yang mendatang ekoran pandamik maut dan lain-lain.

Menurutnya, sejajar penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di bawah pengawasan Majlis Keselamatan Negara, seramai 1200 anggota TLDM terlibat secara langsung dalam Op PENAWAR.

“Anggota-anggota terlibat ditugaskan dalam pelaksanaan sekatan jalanraya dan rondaan bersama pihak PDRM. Tanggungjawab ini merupakan salah satu daripada tugasan yang sedang dilaksanakan pada ketika ini bagi membantu PDRM memperketatkan penguatkuasaan PKP.

“Sekiranya isu ini berlanjutan, penglibatan anggota akan menjadi lebih besar dan skop operasi mungkin akan menjadi lebih rumit.

“Bertindak atas risiko penularan Covid-19 di seluruh pelusuk tanah air, TLDM telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan beberapa pusat kuarantin untuk warga yang menghidapi simptom Covid-19 dan diletakkan di bawah pengawasan untuk saringan kesihatan,” ujarnya lagi.

Justeru tambah beliau, sebagai contoh, pusat kuarantin yang dimaksudkan adalah di Bangunan A 33 bagi warga yang berada di sekitar Pangkalan TLDM Lumut dan Bangunan 4 Transit Pulau Uda di Pangkalan TLDM Kota Kinabalu.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast