Pasukan TM R&D sedang menguji penyelesaian tercanggihnya, EWAR, yang telah dipasang di pusat kuarantin Covid-19 di MAEPS.

KUALA LUMPUR – Sebagai sebahagian daripada sumbangan untuk menangani Covid-19, Telekom Malaysia Berhad (TM) melalui cabang inovasinya, TM Research & Development (TM R&D) telah memasang penyelesaian inovatif yang dikenali sebagai Early Warning, Alert & Response atau EWAR bagi membantu mengesan suhu tinggi dalam kalangan pasukan perubatan dan barisan hadapan di pusat kuarantin dan rawatan bagi kes virus itu di Malaysia Agro Exposition Park (MAEPS), Serdang.

EWAR merupakan penyelesaian komersial terbaharu daripada TM R&D yang berupaya mengukur dan mengesan individu yang mempunyai suhu badan yang tinggi di tempat tumpuan ramai.

Suhu tinggi merupakan salah satu daripada simptom awal untuk mengesan potensi penularan virus.

EWAR telah dibangunkan dengan fungsi ketepatan yang lebih tinggi berbanding alat pengesanan termometer biasa dan tidak memerlukan proses pemeriksaan suhu badan berulang kali yang memakan masa.

Dengan pemasangan EWAR di pusat kuarantin dan rawatan tersebut, pasukan perubatan dan barisan hadapan dapat menjalankan proses saringan dengan lancar dan lebih efektif, yang mana penyelesaian tersebut boleh menyaring antara 10 ke 15 orang individu sesaat secara serentak.

Di samping itu, penyelesaian ini juga membolehkan mereka mengurangkan keperluan tenaga kerja.

Mengulas inisiatif terbaharu ini, Ketua Pegawai Eksekutif, TM R&D, Dr. Sharlene Thiagarajah berkata, pihaknya amat berbesar hati kerana dapat menyumbang dalam usaha menangani Covid-19.

Pemasangan kamera termal Covid-19 di MAEPS akan membantu memudahkan saringan tanpa sentuhan pasukan perubatan dan barisan hadapan dan kami percaya ia akan meningkatkan kecekapan operasi di pusat berkenaan.

Penyelesaian ini juga memerlukan pemantauan olehpetugas secara minimum, oleh itu, pasukan perubatan boleh memberi tumpuan terhadap tugasan utama mereka iaitu memberikan rawatan yang diperlukan kepada para penghuni di pusat tersebut.

”EWAR merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk mencetus perubahan kepada negara dan terdapat beberapa usaha lain yang sedang dalam perancangan,” tambah beliau.

Sementara itu, Dr. Md Anuar Abd Samad @ Mahmood, Pengarah Pusat Kuarantin bagi Covid-19 Berisiko Rendah di MAEPS gembira dapat bekerjasama dengan TM R&D dalam pemasangan kamera termal EWAR ini.

Dengan kemajuan teknologi digital yang ditawarkan oleh penyelesaian ini, pihaknya yakin langkah ini bertepatan dengan strategi kami untuk mempertingkatkan kemudahan di MAEPS.

EWAR juga dilengkapi dengan perisian berasaskan awan dan aplikasi mudah alih yang menjadikan penyelesaian inovatif ini unik.

Fungsi ini membolehkan kesemua maklumat yang dirakam oleh kamera dapat dikongsi dan disampaikan secara masa nyata kepada pihak berkuasa yang berkenaan untuk tujuan perancangan dan tindak balas kecemasan.

Komponen EWAR ini amat penting dalam meminimumkan keperluan interaksi manusia kerana data tersedia dalam masa nyata yang membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) memantau status dari jauh terutama pada waktu malam (bukan waktu puncak) yang mana berkemungkinan ketika ketiadaan ketua pasukan perubatan. – MalaysiaGazette