Kementerian Kesihatan

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  hari ini mengesahkan seorang bayi positif Covid-19 .

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, bayi itu disahkan positif virus itu selepas 18 hari dilahirkan di hospital.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memastikan bagaimana bayi itu dijangki virus tersebut.

“Memang ada kes ibu mengandung yang mana anak yang dilahirkan selepas 18 hari disahkan positif Covid-19.

“Tetapi kita tidak pasti samada jangkitan itu berlaku sama ada semasa bayi itu ada dalam kandungan ke atau macam mana,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di sini hari ini.

Noor Hisham berkata, proses kelahiran bayi tersebut berjalan dengan lancar tanpa komplikasi.

Ditanya mengenai risiko serangan strok dalam kalangan pesakit Covid-19 terutamanya golongan muda, beliau memberitahu, terdapat tiga faktor yang mengakibatkan pembekuan darah di dalam saluran darah dan menjejaskan pengaliran darah.

“Apabila ada keradangan, darah akan menjadi pekat dan membawa kepada proses pembekuan darah.

“Kemudian virus akan menyerang dinding saluran darah seterusnya menyebabkan luka pada dinding saluran itu sebelum proses thrombus (saluran darah tersumbat) terjadi.

“Dalam perkara ini, individu yang mempunyai penyakit kegemukan atau dirawat di hospital yang tiada pergerakan tertentu juga menyebabkan pengaliran darah yang lambat.

“Jika proses itu berlaku di kepala, ia akan membawa kepada serangan strok dan jika saluran darah tersumbat di jantung pula ia akan mengakibatkan serangan jantung juga,” katanya. – MalaysiaGazette