Gambar Hiasan.

KUALA LUMPUR – Geran Khas Prihatin untuk perniagaan mikro akan dibuka mulai hari Jumaat ini, iaitu 1 Mei 2020.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz berkata, proses permohonan akan diselaraskan dan diumumkan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) dalam masa terdekat.

Untuk kategori perniagaan pula, mulai Jumaat 1 Mei ini, permohonan untuk jaminan pinjaman Danajamin akan mula dibuka.

Mengenai Program Subsidi Upah, sehingga 26 April, permohonan subsidi upah yang diluluskan telah meningkat daripada 159,000 majikan, melibatkan 1 juta pekerja kepada 195,000 majikan yang melibatkan 1.5 juta pekerja.

Bantuan ini melibatkan peruntukan RM1.35 bilion, iaitu peningkatan daripada RM1.2 bilion pada minggu lalu.

Manakala Dana Pinjaman Mudah PKS dengan peruntukan sebanyak RM6.3 bilion menyaksikan sebanyak RM4.5 bilion telah diluluskan untuk 8,500 PKS setakat 26 April lalu.

Ini adalah peningkatan daripada RM2.7 bilion untuk 5,000 PKS minggu lalu.

Tengku Zafrul menambah, Program Bantuan Majikan Covid-19 atau e-CAP KWSP yang dilancarkan 23 April lalu bertujuan membantu PKS yang layak dalam menguruskan aliran tunai bulanan perniagaan.

Program ini membolehkan majikan yang mempunyai sehingga 200 pekerja untuk memohon penangguhan dan penstrukturan Bayaran Caruman Syer Majikan untuk caruman bulan April, Mei & Jun 2020 (iaitu pada bulan Mac, April & Mei 2020).

Bagi PKS yang mempunyai lebih 200 pekerja dan memerlukan penyelesaian yang berlainan dari apa yang ditawarkan melalui program e-CAP, mereka juga boleh menghubungi KWSP untuk pertimbangan dengan syarat PKS mempunyai rekod bayaran caruman yang baik sebelum bermulanya wabak Covid-19. – MalaysiaGazette