Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh ditamatkan awal atau terus bersambung terletak pada rakyat berdasarkan sejauh mana mereka patuh dengan peraturan ditetapkan kerajaan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, jika semua patuh kepada arahan dan SOP dikeluarkan kerajaan, serta gejala penularan Covid-19 makin berkurangan, maka PKP boleh ditamatkan secepat mungkin.

Tetapi, katanya, jika rakyat masih bebas keluar rumah, berada di jalan raya secara bebas sehingga menyebabkan penularan wabak itu makin bertambah, kerajaan terpaksa melanjutkan tempoh PKP.

“Saya tidak boleh agak bila PKP ditamatkan, dan jika dibandingkan tangkapan mereka yang ingkar PKP, trendnya turun naik sepanjang PKP 1, 2 dan 3.

“Malah, ada kalanya jumlah tangkapan itu lebih teruk. Sebab itu saya selalu ingatkan supaya patuh arahan PKP, kerana yang menentukan PKP tamat cepat atau lambat adalah kita,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan wartawan mengenai perbandingan PKP 1, 2 dan 3 dari segi tangkapan serta kepatuhan orang ramai.

Ismail Sabri berkata, kerajaan tidak boleh memberi jaminan bila PKP akan ditamatkan, dan tidak mahu tergopoh gapah mengisytiharkan negara bebas dari wabak Covid-19.

Beliau bimbang negara ini akan berlaku seperti beberapa negara lain yang menamatkan PKP, tetapi tiba-tiba gejala itu berlaku lagi sehingga memaksanya menguatkuasakan perintah kawalan pergerakan dalam tempoh yang lama.

“Lebih baik kita berdisiplin sekarang untuk senang masa akan datang,” katanya.

Mengenai SOP yang dikuatkuasakan di kawasan zon hijau, beliau berkata,Majlis Keselamatan Negara (MKN) di peringkay akhir membentangkannya yang lebih lengkap kepada kerajaan.

Menurut beliau, banyak kawasan telah diisytiharkan sebagai zon hijau dan untuk itu kerajaan masih berbincang SOPnya mengenai apa yang boleh dilakukan dan sebaliknya.

“Contohnya, kawasan tertutup seperti perumahan PPR, setelah sebulan lebih penghuni tidak keluar rumah dan kita dapati tidak ada gejala wabak Covid-19, mungkin kita akan benarkan mereka keluar dan berada di sekitar kediaman.

“Mereka masih tidak boleh keluar dari kawasan rumah kerana SOP tidak membenarkannya tetapi ini semua sedang dirangka oleh MKN yang akan mendapatkan input dari semua kementerian.

“Mungkin minggu depan kita boleh dapat tahu SOP ini. Setakat ini masih dalam perangkaan lagi,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast