Foto hiasan - Anggota bomba menjalankan sanitasi ke atas beg pakaian para pelajar sebelum dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing. - foto IQBAL BASRI, 27 APRIL 2020

KUANTAN – Misi balik kampung mahasiswa melibatkan tiga negeri Pantai Timur akan bermula esok (29 April).

Misi Pantai Timur tersebut akan diaktifkan selepas pelajar dari kawasan tengah Semenanjung dibawa pulang ke utara Semenanjung bermula semalam.

Sinchew Daily melaporkan, perjalanan balik kampung bermula 29 April adalah terhad kepada tiga negeri iaitu Terengganu, Kelantan dan Pahang sahaja.

Menurut akhbar itu, kira-kira 1,000 orang mahasiswa di Pantai Timur yang sebelum ini “terkandas” kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) akan dibenarkan pulang dari universiti mereka di Pantai Timur ke kampung masing-masing di rantau sama.

Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Pahang, Profesor Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin telah diamanahkan untuk menyelaraskan urusan balik kampung melibatkan pelajar universiti awam dan swasta, politeknik dan kolej komuniti bagi kawasan Pantai Timur.

Beliau memberitahu Sinchew Daily, pelajar negeri lain di luar Pantai Timur Semenanjung tidak dibenarkan balik kampung pada peringkat tersebut.

“Ini bermakna mereka yang belajar di Pahang boleh kembali ke kampung di Terengganu yang juga terletak di Pantai Timur, tetapi mahasiswa di Pahang tidak boleh kembali ke kampung di Kuala Lumpur,” katanya.

Menurutnya, anggaran awal mendapati sebanyak 1,000 mahasiswa akan balik kampung pada peringkat itu yang melibatkan perjalanan dalam Pantai Timur sahaja, tetapi jumlah itu perlu dipastikan dalam mesyuarat pada Isnin.

Jelasnya lagi, misi balik kampung bermula 27 April dengan kumpulan pertama melibatkan mahasiswa kawasan tengah Semenanjung balik ke kampung di utara Semenanjung.

“Kami tidak jalankan misi ini secara serentak kerana tidak mahu melihat terlalu banyak kenderaan di jalan raya,” katanya.

Menurutnya, bas akan diaturkan dan ibu bapa tidak boleh mengambil anak mereka di kampus. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast