Jururawat melihat Perutusan Khas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Hospital Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 10 APRIL 2020.

PUTRAJAYA – Para petugas dan kakitangan kesihatan yang berkhidmat di hospital Covid-19 akan disaring setiap dua minggu selepas kerajaan menerima Kit Ujian Rapid (RTK) yang ditempah dari Korea Selatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kit terbaharu yang akan diterima itu akan merekodkan ketepatan bacaan yang dikehendaki iaitu lebih daripada 85 peratus.

“Ia juga berupaya memberikan keputusan dalam tempoh kurang daripada 45 minit sahaja tetapi kita masih belum menerima kit ujian antigen itu.

“Kami menjangkakan 200,000 kit ujian itu mungkin diterima menjelang hujung minggu ini atau minggu hadapan.

“Maka ia akan meningkatkan keupayaan saringan kami dan kami akan menguji semua petugas kesihatan kami setiap dua minggu bagi menjamin kesihatan mereka,” katanya dalam sidang media harian Covid-19 hari ini.

Tambah beliau, kit ujian sama juga akan digunakan di semua lapangan terbang termasuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur selepas pemasangan kabinet bio keselamatan di terminal bagi menyimpan kit itu.

Menurut Noor Hisham, sampel saringan tidak lagi perlu dihantar ke makmal untuk mendapatkan keputusan, sebaliknya keputusan boleh diketahuinya dalam masa singkat di lokasi.

Ditanya mengenai kapasiti saringan ujian Covid-19 yang boleh dilakukan sehari, Noor Hisham berkata, kini KKM mampu menjalankan 16,635 saringan yang membabitkan 44 makmal Covid-19 kerajaan dan swasta. – MalaysiaGazette