PDRM police Nilai stepfather drugs boy Tanjung Sepat Selangor Exco Raya celebration
Gambar hiasan.

PASIR PUTEH – Polis menahan seorang penganggur kerana disyaki mencuri dua ekor lembu selepas menyuntiknya dengan ubat pelali di Kampung Lembah Semerak di sini Jumaat lepas.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, DSP Mohd Azmir Damiri berkata, lelaki berumur 28 tahun itu ditahan selepas menyumbat kedua-dua ekor lembu berkenaan di tempat duduk penumpang belakang sebuah kereta Perodua Myvi kira-kira 12.30 tengah malam.

“Ketika serbuan kedua-dua ekor lembu berada dalam keadaan khayal dan dianggarkan setiap seekor bernilai RM3,000,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini, hari ini.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa alat dipercayai berkaitan kes terbabit termasuk pisau, ubat pelali dan alat suntikan yang disimpan dalam kereta terbabit.

Katanya, lelaki itu direman lima hari bermula Sabtu untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Merbahaya 1958

“Suspek juga didakwa kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengikut Akta Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan (No 2) 2020,” katanya.

Mohd Azmir berkata, polis juga sedang mengesan seorang wanita yang dikenali sebagai Nurul Asdayanti Mohamad atau Yuyu, 29, beralamat terakhir di No. 29, Lot Kampung Pantai Baru, Bachok bagi membantu siasatan. – Bernama