KUALA LUMPUR – Kerajaan belum bercadang membenarkan premis pajak gadai swasta beroperasi sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini berkuatkuasa.

Bagaimanapun, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, orang ramai boleh merujuk di Bank Rakyat kerana institusi itu juga menyediakan pajak gadai Ar-Rahnu.

“Saya tidak tahu Ar-Rahnu di Bank Rakyat dibuka atau tidak tetapi setakat ini kita tidak bercadang membenarkannya beroperasi.

“Tambahan pula ia bukan keperluan asas. Tapi, kita akan tengok. Kita akan bincang dengan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan wartawan berhubung rungutan orang ramai yang kesempitan wang hendak menggadai barang kemas untuk berbelanja menyara keluarga.

Kata Ismail Sabri, kerajaan masih kekal dengan SOP sedia ada iaitu membenarkan kedai makan beroperasi sehingga jam 8 malam.

Katanya, tidak ada peraturan baharu membenarkan waktu operasi kedai makan dilanjutkan sehingga jam 10 malam walaupun pada bulan Ramadan.

“Setakat ini waktu operasi masih kekal dengan SOP lama. Semua kedai perlu tutup jam 8 malam. Tetapi kita akan keluarkan SOP berdasarkan zon hijau nanti. Sekarang ini sesiapa hendak pesan makanan boleh pesan awal-awal. Kita tahu kedai makan akan tutup jam 8 malam, mungkin jam 3 atau 5 petang sudah boleh buat pesanan,” katanya.

Mengenai perlawanan bola sepak Liga Malaysia, Ismail Sabri berkata, keputusan kerajaan masih kekal iaitu belum boleh dibenarkan.

Kata beliau, jika ada permohonan rasmi dari Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) atau Kementerian Belia dan Sukan, kerajaan akan teliti perkara itu.

“Sekarang keputusan masih kekal, Liga M belum dibenarkan. Jika ada permohonan rasmi FAM atau Kementerian Belia dan Sukan, kita akan tengok perkara ini.

“Walaupun PKP ditamatkan sekalipun, peraturan selepas tamat juga masih ketat seperti tidak boleh diadakan perhimpunan besar-besaran sebagai sukan bola sepak yang menyaksikan penonton begitu ramai.

“Mungkin kita boleh pertimbangkan tanpa kehadiran penonton tetapi perkara itu terlalu awal untuk dimaklumkan. Kerajaan akan kaji dan teliti dahulu,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast