Amirudin Shari

KUALA LUMPUR – Sebanyak 10 daripada 5,433 ujian saringan Covid-19 yang dilakukan di enam kawasan di Hulu Langat dan Bandar Baru Selayang didapati positif virus itu.

Daripada jumlah itu, lapan daripada 10 kes tersebut merupakan pesakit tidak bergejala.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, pemeriksaan itu dilakukan pada 11 April hingga 23 April lalu di kawasan zon merah.

Pemeriksaan secara pandu-lalu dan dari rumah ke rumah (termasuk rumah penjagaan orang tua) ini menggunakan kaedah RT-PCR yang diluluskan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta dilaksanakan secara bersepadu antara anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), SELCARE Clinic bersama-sama Pejabat Kesihatan Daerah (PKD), Pihak Berkuasa Tempatan dan Polis Diraja Malaysia.

Bagi mereka yang telah menjalani saringan komuniti ini boleh memuat turun laporan pemeriksaan tersebut di http://www.selangorprihatin.com mulai 1 Mei 2020.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Selangor akan meneruskan saringan komuniti di negeri itu bagi membantu usaha-usaha KKM mengenal pasti individu yang dijangkiti virus ini terutama dalam kalangan mereka yang berisiko tinggi.

Inisiatif saringan komuniti ini akan terus dilaksanakan dalam masa terdekat secara strategik dengan mengambil kira dapatan Selangor Task Force Covid-19 bagi meningkatkan kesiapsiagaan rakyat menghadapi norma baharu pasca-PKP dalam usaha memulihkan semula ekonomi negeri. – MalaysiaGazette