Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Selepas daerah Kota Bharu bebas kes positif Covid-19 pada Isnin, keseluruhan negeri Kelantan didapati bebas Covid-19 pada semalam.

Menurut Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat (CPRC) Kebangsaan, daerah Tanah Merah yang mempunyai satu kes positif Covid-19 telah sembuh pada Selasa.

Ini menjadikan Kelantan negeri kedua bebas Covid-19 selepas Perlis minggu lalu.

Di Perak, daerah Larut Matang dan Selama, menjadi zon bebas Covid-19 kesembilan di negeri itu yang bebas Covid-19.

Malah daerah Kampar turut diisytiharkan zon bebas Covid-19 kesepuluh di negeri itu apabila satu-satunya pesakit di kawasan itu turut sembuh daripada jangkitan Covid-19.

Menurut CPRC, kedua-dua pesakit positif Covid-19 di daerah itu didapati sembuh pada Selasa.

Perak kini bakal menjadi negeri ketiga bebas Covid-19 apabila hanya mencatatkan dua sahaja pesakit positif Covid-19 iaitu di Kinta dan Manjung.

Pulau Pinang juga menunjukkan kesan positif apabila zon Timur Laut turut dikategorikan sebagai zon bebas Covid-19 menjadikan daerah kedua di negeri itu bebas Covid-19.

Negeri itu kini berbaki lima pesakit yang aktif jangkitan Covid-19.

Kedah masih mencatatkan empat kes aktif Covid-19 dengan dua di Kota Setar, dan masing-masing satu di Kuala Muda dan Kubang Pasu.

Daerah Padang Terap pula dikategorikan sebagai zon hijau apabila satu-satunya pesakit Covid-19 disitu sembuh pada Selasa.

Terengganu juga menunjukkan peningkatan zon hijau apabila Marang juga dikategorikan sebagai zon bebas Covid-19.

Negeri itu kini tinggal 39 kes aktif dengan jumlah 15 daripadanya direkodkan di Dungun.

Bagaimanapun, di daerah Rembau, Negeri Sembilan pula mencatatkan satu kes positif Covid-19 setelah diisytiharkan bebas wabak itu pada Isnin.

Menerusi data yang diberikan CPRC, daerah dalam zon merah masih kekal kepada 12 daerah.

Lembah Pantai masih lagi mencatatkan kes aktif kebolehjangkitan Covid-19 tertinggi dengan pertambahan 9 lagi kes kepada 298 kes.

Kuching meningkat kepada 165 kes; Kota Samarahan 68 kes; Kepong 91 kes; Titiwangsa 62 kes; Seremban 74 kes; Petaling 46 kes; Johor Bahru 48 kes.

Dua daerah didapati kes positif Covid-19 kekal iaitu daerah Hulu Langat, Selangor kekal 72 kes; Kluang 84 kes, sementara Melaka Tengah turun kepada 48 kes; dan Kuantan 42 kes.

Untuk rekod, 85 daerah telah bebas Covid-19 sementara 61 lagi masih dikategorikan sebagai zon kuning. -MalaysiaGazette.