KUALA LUMPUR – Seramai 653 pelajar di zon Utara akan dihantar pulang ke kampung halaman di zon yang sama hari ini dan esok.
Menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, ia melibatkan pelajar di Universiti Teknologi Mara (UitM), Universiti Utara Malaysia (UUM), politeknik dan universiti swasta di zon Utara yang akan bertolak pada jam 2 petang.
Pelajar-pelajar dari Universiti Sains Malaysia (USM) pula akan bertolak pada jam 9 malam ini.
“Bagi pergerakan pelajar dalam zon Utara, ia melibatkan 44 buah bas bagi pergerakan dalam negeri Perlis, Kedah dan Pulau Pinang,” katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.
Selain itu, 280 pelajar di zon Sarawak ke kampung halaman di kawasan yang sama akan bergerak mulai hari ini dan esok.
“Bagi negeri Sarawak ada dua pergerakan dalaman yang akan bermula hari ini dan esok,” katanya.
Seramai 42 pelajar telah dihantar pulang ke rumah masing-masing menggunakan 2 buah bas dan 1 van yang bertolak pada jam 9 pagi tadi. -MalaysiaGazette