Ramon Navaratnam

KUALA LUMPUR – Komuniti peniaga dan para pekerja di Malaysia perlu bersabar untuk tempoh sedikit masa lagi sebelum perniagaan dibenarkan beroperasi semula seperti sedia kala.

Meskipun Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan sejak 18 Mac menjejaskan sebahagian besar perniagaan dan ‘poket’ isi rumah tetapi para peniaga dan pekerja tiada pilihan lain memandangkan keselamatan dan nyawa adalah jauh lebih penting.

Tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam berkata, beliau percaya kerajaan akan melonggarkan sekatan PKP secara beransur-ansur selepas mengambil kira situasi semasa kes-kes Covid-19 di negara ini.

Menurutnya, kerajaan pastinya tidak mahu sekatan yang dikenakan berpanjangan kerana ia tidak baik untuk ekonomi dalam jangka panjang.

Lagipun, kerajaan bertanggungjawab untuk memastikan pemulihan ekonomi dan melindungi mata pencarian rakyat supaya ekonomi negara kembali mampan, berdaya saing, mengembalikan keyakinan pelabur serta menjamin pekerjaan.

”Satu dunia kini berdepan dengan ancaman virus Covid-19 yang sungguh dahsyat lantaran itu keselamatan lebih utama.

”Tetapi saya percaya sesuatu yang sudah mencapai kemuncaknya, pasti akan menyaksikan penurunan. Begitu juga dengan serangan virus ini.

“Namun, untuk melonggarkan sekatan sudah tentu kerajaan mengambil banyak pertimbangan kerana jika dibuka terlalu cepat, dikhuatiri keadaan lebih buruk berlaku,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Keluk jangkitan Covid-19 di negara ini sudah mula menunjukkan melandai sejak dua minggu lalu, dipercayai menjadi asas kepada kelonggaran PKP.

Semalam, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mengumumkan sektor-sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi semasa PKP sebelum ini dibenarkan menggunakan kapasiti penuh dalam operasi masing-masing serta tanpa had waktu.

Mulai hari ini Malaysia berada fasa keempat PKP sehingga 12 Mei ini.

Beliau mengingatkan syarikat atau kilang-kilang yang diberi kebenaran itu hendaklah menunjukkan komitmen untuk mematuhi peraturan dan garis panduan yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) terutama dalam pemakaian penutup mulut dan hidung serta penjarakkan sosial.

Jelasnya, Malaysia khususnya KKM berada kedudukan yang betul apabila memberi kategori kawasan jangkitan Covid-19 – memudahkan pemantauan rapi dilakukan oleh semua pihak.

“Dengan kategori itu, ia memudahkan kerajaan memberi kelonggaran dalam melaksanakan aktiviti ekonomi,” ujarnya.

Dalam pada itu, Navaratnam meminta kerajaan mengumumkan pembaharuan-pembaharuan baharu dalam usaha mengukuhkan kedudukan ekonomi pasca PKP dan Covid-19.

Menurutnya, strategi-strategi itu penting dalam memberi rangsangan kepada ekonomi untuk terus bergerak dalam keadaan yang mencabar sekarang. – MalaysiaGazette