KUALA LUMPUR- Berjemur atau mendedahkan diri kepada suhu melebihi 25 celcius tidak mampu menghalang seseorang itu daripada dijangkiti virus Covid-19.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), langkah utama untuk mengelak daripada dijangkiti Covid-19 adalah dengan mengamalkan penjarakan sosial dan sentiasa memastikan kebersihan diri terutamanya kerap membasuh tangan dengan sabun serta tidak menyentuh mata, hidung dan muka sebelum membasuh tangan.
“Anda boleh dijangkiti virus tersebut tanpa mengira betapa kuatnya sinar matahari atau panasnya suhu di sesuatu kawasan tersebut.
“Negara-negara yang mempunyai cuaca panas juga merekodkan kes-kes Covid-19.
“Cara terbaik untuk melindungi diri anda daripada virus Covid-19 adalah dengan mengekalkan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter daripada orang lain dan sentiasa membasuh tangan.
“Dengan cara ini anda dapat menghapuskan virus yang mungkin berada pada tangan anda dan mengelakkan jangkitan yang boleh berlaku apabila anda menyentuh mata, hidung dan mulut,” katanya di laman web pertubuhan tersebut.
Tambahnya, salji atau suhu terlampau sejuk juga tidak dapat membunuh virus berkenaan.
Menjawab beberapa mitos yang dikaitkan dengan “langkah pencegahan” Covid-19, WHO berkata, mandi menggunakan air panas juga tidak mampu mematikan virus berkenaan dan hanya menyebabkan kecederaan seperti melecur.
Ini kerana suhu badan akan kekal pada 36.5 celcius hingga 37 celcius tanpa mengira betapa panas air digunakan untuk mandi.
Tambah WHO, lada dan bawang putih meskipun mempunyai khasiat perubatan tersendiri juga tidak mampu membunuh virus berkenaan.
Seseorang itu juga tidak boleh mengesahkan diri bebas Covid-19 atau sebarang masalah paru-paru hanya dengan melakukan ujian menahan nafas selama 10 saat atau lebih tanpa batuk.
Katanya, satu-satunya cara untuk mengesahkan jangkitan Covid-19 adalah menerusi ujian makmal.
“Langkah menahan nafas selama 10 saat atau lebih itu mungkin hanya akan membahayakan nyawa seseorang,” katanya lagi.
Setakat ini tiada ubat khusus yang boleh merawat Covid-19 ditemui, katanya.
Dengan itu tegasnya, setiap individu perlu mengamalkan penjarakan sosial dan penjagaan kebersihan terbaik bagi membendung penularan wabak berkenaan.- MalaysiaGazette

















Amerika pun tak caya who.. Skrg zaman intenet. Tak dgr Trump kata apa kat WHO?