KUALA LUMPUR – Hujan lebat selama dua jam petang semalam, menyebabkan beberapa kawasan terutama Kampung Batu 10, Cheras, dekat sini, dinaiki air sedalam lebih satu meter.
Berikutan itu, kira-kira 30 penduduk dipindahkan yang terjejas dengan banjir itu dipindahkan sementara ke Kompleks Penghulu Batu 10 sehingga keadaan reda.
Menurut Skuad Pantas Majlis Perbandaran Kajang (MPKj), pihaknya menerima aduan mengenai kejadian itu kira-kira jam 8 malam dan menggerakkan pasukannya untuk melancarkan kerja menyelamat.
Katanya, seramai 30 penduduk yang menghuni sekurang-kurangnya 15 unit rumah sekitar kampung itu dipindahkan kerana air semakin naik berikutan hujan lebat dan ribut petir.
“Kampung Batu 10, Cheras didapati mengalami banjir kilat dan dianggarkan lebih kurang 15 unit rumah yang ditenggelami air sedalam satu meter.
“Kebanyakan mangsa terperangkap dan dikeluarkan menggunakan bot Pantas MPKj dan Balai Bomba dan Penyelamat yang dianggarkan seramai 30 orang.
“Mereka melibatkan warga emas, bayi, kanak-kanak dan orang dewasa, manakala keadaan semasa air masih bertangkung dan mengalir,” katanya menerusi Facebooknya, hari ini.
Menurut Skuad Pantas MPKj lagi, antara pihak yang terlibat dalam kerja menyelamat dan memindahkan mangsa ialah polis, Bomba, Bomba Bantuan dan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM).
MalaysiaGazette difahamkan, banjir kilat turut berlaku di kebanyakan kawasan Ampang, tetapi keadaan terkawal. – MalaysiaGazette