Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris

KUALA LUMPUR – Keputusan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) memberi kebenaran semua sektor ekonomi beroperasi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), akan menjejaskan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

Seharusnya pada fasa pemulihan jangkitan virus itu, Menterinya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali perlu lebih berhati-hati dengan tidak mengambil risiko seolah sudah ada jaminan wabak Covid-19 telah berjaya dikekang.

Tegas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu, Datuk Dr. Najmil Faiz Mohamed Aris, kerajaan perlu mengambil iktibar daripada Singapura, yang mana kes positif Covid-19 banyak berpunca daripada pekerja asing di sektor ekonomi dan telah melepasi 15,000 kes iaitu tertinggi di Asia Tenggara.

Kata beliau, ketika Malaysia melaksanakan PKP bermula 18 Mac lalu, Singapura telah menutup sempadan negaranya pada 22 Mac.

“Namun, Singapura tidak menutup sepenuhnya sektor ekonomi, sekolah, pejabat, restoran dan sebagainya serta hanya menegaskan keperluan penjarakan sosial.

“Kebanyakan jangkitan di negara itu adalah dalam kalangan pekerja asing yang tinggal di asrama, sekali gus menjadi kegagalan terbesar Singapura selepas berjaya mengekang penularan Covid-19 pada peringkat awal kerana lambat melaksanakan “lockdown”,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Selasa lalu, kerajaan memutuskan semua sektor ekonomi yang dibenarkan beroperasi ketika PKP diberi kebenaran beroperasi pada kapasiti penuh tanpa sekatan.

Mohamed Azmin dilaporkan berkata, kebenaran itu bagaimanapun tertakluk kepada kewajipan mematuhi syarat prosedur operasi standard (SOP) yang ditetap bagi sektor masing-masing.

Beliau berkata, inisiatif itu akan memberi anjakan kepada pemulihan sistem rantaian bekalan barangan dan perkhidmatan untuk memenuhi permintaan domestik dan luar negara.

Menurut Dr. Najmil Faiz, Jerman membenarkan beberapa sektor ekonomi beroperasi seperti biasa, tetapi bermula dengan premis berskala kecil iaitu sekitar 800 meter persegi dan sektor penting seperti kilang automotif untuk meminimumkan risiko serta menjaga kepentingan ekonomi.

Beliau yang juga anggota Exco Pemuda UMNO Malaysia menjelaskan, sektor ekonomi di Malaysia boleh beroperasi, tetapi tidak pada kapasiti penuh seperti yang diputuskan MITI.

Katanya, kerajaan seharusnya menetapkan waktu operasi untuk kilang pembuatan sebagai langkah berjaga-jaga.

“Kebimbangan utama adalah kebenaran beroperasi untuk sektor ekonomi ini akan mewujudkan gelombang baharu Covid-19, melibatkan pekerja asing kerana golongan ini mendominasi industri perkilangan dan pembuatan.

“Kerajaan dan MITI diharapkan dapat menimbangkan semula kebenaran untuk membenarkan sektor ekonomi beroperasi penuh serta menangguhkan dahulu untuk mengurangkan risiko penularan wabak Covid-19,” ujarnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Saya nak kilang perabot boleh bukake?lagipun suruh dtg keja?kalau tidak hadir .potong gaji..

  2. Kerajaan tak mampu tanggung gaji perkerja kilang yang ditanggung kerajaan.. Kerajaan terpaksa membayar sebanyak RM600 untuk seorang perkerja jika pegilang tak membuang pekerja selepas tamatnya PKP.. Pegerakkan sosial dalam kilang lagi sukar untuk dipantau daripada pegerakan sosial yang lain..

Comments are closed.