Pasangan suami isteri membeli barangan keperluan bersama selepas kerajaan membuat pengumuman setiap ketua keluarga dibenarkan ditemani seorang lagi ahli keluarga ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-43 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di ST Rosyam Mart, Setiawangsa. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2020

KUALA LUMPUR- Kelonggaran membenarkan dua ahli keluarga keluar bersama ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat setelah menerima banyak aduan daripada rakyat yang sukar untuk berurusan berseorangan.

Ini termasuk isteri-isteri yang terpaksa bekerja tetapi tidak boleh memandu, selain masalah kekurangan tempat meletak kereta di sesetengah tempat yang menyukarkan orang ramai untuk keluar berseorangan.

Lagipun, menurut Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, graf kes positif Covid-19 sudah menunjukkan penurunan berbanding ketika PKP mula dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Keputusan tersebut diambil selepas kita membuat pertimbangan terhadap aduan-aduan rakyat serta jumlah kes positif Covid-19 yang semakin menurun,” katanya semasa sidang media hari ini.

Bagaimanapun, operasi standard prosedur (SOP) yang telah ditetapkan di pasar raya serta semua premis perniagaan tetap dikekalkan dan perlu dipatuhi sama seperti sebelum ini, tegasnya.

Cuma terdapat kemungkinan berlaku pertambahan jumlah pelanggan pada satu-satu masa sehingga menyebabkan barisan menjadi lebih panjang dan tempoh beratur untuk memasuki premis berkenaan semakin lama.

“Saya percaya walaupun ada peningkatan sedikit dari segi jumlah pelanggan tetapi saya percaya para perniagaan ini akan mengekalkan SOP yang ada supaya tidak berlaku kesesakan cuma barisan akan menjadi lebih panjang selepas ini.

“Saya nasihatkan para suami apabila menghantar isteri berbelanja, boleh tunggu di dalam kereta sahaja bagi mengelakkan terlalu ramai yang beratur sehingga barisan menjadi panjang,” katanya lagi.

Semalam, kerajaan mengumumkan sedikit kelonggaran pada hari pertama PKP fasa empat bermula antaranya dengan membenarkan dua ahli keluarga yang tinggal serumah untuk keluar membeli barangan makanan atau keperluan.-MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast