Datuk Mohd Khairuddin Aman Razali

KUALA LUMPUR – Eksport minyak sawit negara susut sebanyak 41.7% sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan sehingga 14 April lalu.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, keseluruhan eksport produk sawit juga menurun sepanjang tempoh tersebut.

Ia menyaksikan penurunan mendadak sebanyak 34.8 peratus atau 793,257 tan kepada 1.48 juta tan berbanding 2,28 juta tan bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Dalam pada itu, beliau berkata, beberapa negara rantau Asia Pasifik, Asia Barat serta Asia Tengah dikenalpasti mampu menyokong pelaburan langsung atau pelaburan secara usaha sama dalam usaha meneroka pasaran baharu sawit.

Negara-negara itu ialah Filipina, Vietnam, Myanmar, Mesir, Arab Saudi, Jordan, Djibouti, Ethiopia, Somalia, Mozambique, Afghanistan, Uzbekistan dan Kazakhstan.

Katanya, negara-negara itu akan menyokong pasaran sedia ada iaitu India, China dan Kesatuan Eropah (EU).

“Anggaran pasaran bagi rantau terbabit adalah sebanyak dua juta tan setahun,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

KPPK hari ini memaklumkan kepada Jemaah Menteri mengenai prestasi eksport sawit serta usaha berterusan KPPK dalam memasarkan minyak dan produk sawit Malaysia.

Khairuddin memberitahu, sebahagian besar negara berkenaan telah menunjukkan minat berkaitan aspek pembekalan atau terbabit dalam pengembangan serta pembuatan industri minyak dan lelemak menggunakan minyak sawit Malaysia.

Ujarnya, perkembangan itu menunjukkan keyakinan negara terbabit terhadap kualiti minyak sawit Malaysia.

“Ia juga membuktikan kelebihan Malaysia sebagai pembekal minyak sawit dan boleh dipercayai sebagai rakan kerjasama dalam membangunkan industri minyak sawit serta lelemak berasaskan sawit di negara mereka,” katanya.

Tambah beliau, KPPK akan meningkatkan usaha penerokaan pasaran baharu melalui pelbagai strategi yang bersesuaian dengan negara terbabit.

“Malaysia juga bersedia untukberkongsi kepakaran dan kemahiran melalui misi perdagangan, penganjuran seminar berkaitan isu teknikal dan ekonomi, pelaksanaan program pengenalan industri sawit serta berkongsi tadbir urus industri sawit,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast