Petugas Pejabat Kesihatan Daerah Gombak hadir melakukan persiapan untuk melakukan ujian saringan kepada penduduk di dalam kawasan kawat duri bagi membendung wabak Covid-19 susulan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selayang Baru, Selangor. foto AFFAN FAUZI, 29 APRIL 2020

MALAYSIA kini dalam langkah membebaskan dirinya daripada masalah wabak Covid-19 yang telah mengugat banyak negara di dunia.

Pelbagai langkah membendung dan merawat telah dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarkat (KWKM), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan pelbagai agensi kerajaan dan bukan kerajaan (NGO).

Kerajaan Malaysia telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk membendung penularan wabak ini dan telah menunjukkan kesan yang positif.

Jabatan Kemajuan Masayarakat (JKM) pula memainkan peranan memberi berbagai perkhidmatan termasuk kaunseling dalam talian bagi menyokong aspek kesihatan mental semasa dalam PKP atau kuarantin dilaksanakan.

Semasa pelaksanaan PKP pertama pada 18 Mac, pihak KWKM dan JKM telah memulakan operasinya dengan menyediakan perkhidmatan sokongan psikologi secara dalam talian melalui Talian Kasih.

Usaha murni ini menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada rakyat yang dibatasi pergerakan harian.

Selain Talian Kasih, perkhidmatan pengurusan psikososial ditawarkan pelbagai agensi dan NGO seperti PERKAMA International yang dilaksanakan oleh pengamal kaunseling yang terdiri dari kaunselor dan pegawai psikologi.

Pengamal kaunseling mempunyai ilmu intervensi krisis yang berstruktur dan mampu mengurus isu kesihatan mental dan emosi yang dialami oleh mereka yang terlibat dengan PKP.

Kuarantin memberi kesan kesihatan yang mendalam kepada mereka yang melakukan proses pengasingan di rumah, khususnya kakitangan hospital yang dikuarantin kerana bertugas di barisan hadapan.

Seramai 13,528 individu yang menjalankan kuarantin wajib setakat 13 April di negara kita, dan perkara ini penting bagi menyekat rantaian wabak Covid-19 dari menular.

Artikel oleh Brooks dan rakan-rakan yang baru diterbitkan pada 14 Mac 2020 telah menganalisis 24 kajian kesan kuarantin di 10 buah negara dengan masalah seperti wabak SARS, Ebola, H1N1, MERS dan Influenza Equine.

Secara umumnya kesan psikologi kaurantin adalah seperti simptom pasca stres traumatik, kemurungan, gangguan emosi, kehilangan mood, keresahan yang menyebabkan insomnia, kekeliruan, kecenderungan pengambilan bahan terlarang dan kemarahan.

Kesan psikologi ini berpunca dari rasa ketakutan dijangkiti wabak, kehampaan, kebosanan akibat kuarantin yang terlampau lama, stigma, bekalan makanan tidak cukup, maklumat tidak lengkap, dan kehilangan punca pendapatan.

Berdasarkan kajian lain, pekerja kesihatan sebagai barisan hadapan yang merawat mangsa wabak merupakan golongan yang mendapat kesan mendalam pasca stress traumatik jika dibandingkan dengan golongan lain.

Pekerja kesihatan mudah mendapat tempias stigma dari masyarakat lantas membawa kepada pengasingan tingkah laku kendiri yang tinggi.

Golongan ini juga menunjukkan emosi marah yang berlebihan, rasa ketakutan, kehampaan, serba salah, pengasingan diri, kesunyiaan, keresahan, kesedihan, kerisauan dan kekurangan rasa kegembiraan.

Pengamal kaunseling boleh memberi penerangan mengenai kepentingan keperluan proses kuarantin.

Perkara ini penting bagi mengurangkan rasa kemarahan dan keresahan yang dilalui oleh masyarakat.

Usaha menyuntik motivasi diperlukan bagi mereka yang bekerja gaji harian, supaya perasaan putus harapan tidak berpanjangan dan boleh memulakan kehidupan serta meneruskan kerjaya dengan lebih bersemangat.

Motivasi juga penting bagi yang bergaji bulanan disebabkan mereka telah tidak pergi bekerja untuk tempoh masa yang lama.

Pengamal kaunseling boleh menggunakan kemahiran asas menolong untuk melayan masyarakat dan pekerja kesihatan.

Pendekatan terapi tingkah laku kognitif digalakkan untuk membantu klien yang tertekan, mempunyai masalah mengurus kemarahan, kemurungan, keresahan dan merasa tersisih.

Pendekatan terapi ini membantu klien mengubah tingkah laku dan gaya pemikiran supaya lebih rational, realisitik dan berfungsi dengan efektif.

Peningkatan penggunaan komunikasi secara telefon dan media sosial juga penting semasa dan pasca PKP.

Keberkesanan penggunaan teknologi komunikasi membantu masyarakat untuk berhubung dengan kaunselor secara maya dan jarak jauh dalam memberi sokongan untuk mengurus tekanan.

Lantaran itu pengamal kaunseling perlulah mengajar strategi daya tindak bagi mengurus tekanan.

Selain itu, penyelidik disaran melaksanakan kajian perbandingan antara negara tentang kesan  psikologi pasca wabak terhadap masyarakat khususnya pekerja kesihatan yang dikuarantin.

Dapatan kajian boleh dijadikan sumber baharu oleh pihak kerajaan merangka polisi pada masa akan datang.

Oleh kerana kuarantin memberi kesan psikologi yang negatif kepada masyarakat terutamanya bagi pekerja kesihatan, pengamal kanseling perlu meneruskan perkhidmatan kaunseling selepas wabak Covid-19 ini berakhir di negara kita.

Prof Madya. Dr Amin Al Haadi Shafie

Prof Madya. Dr Amin Al Haadi Shafie adalah Ahli Eksekutif PERKAMA International dan Ketua Koordinator, Unit Pusat Penyelidikan Dadah Asian (ACREDA), USIM