LONDON – Pemain sayap Real Sociedad, Adnan Januzaj mendedahkan kegagalan kariernya di Manchester United kerana taktikal bekas pengurus, Louis van Gaal menyebabkan dia tidak berkembang di kelab itu.
Januzaj yang merupakan produk dari akademi United pernah menjadi idola di Old Trafford pada musim 2013/14.
Di bawah pengurusan David Moyes pemain ini telah menunjukan mutu permainan yang berkualiti hingga dikatakan bakal pengganti Cristiano Ronaldo.
Tetapi setelah Moyes dipecat, karier Januzaj mula tenggelam dan dia dipinjamkan ke beberapa kelab sebelum dijual ke Real Sociedad beberapa tahun lalu.
“Semuanya berubah setelah dia (Van Gaal) datang,” kata Januzaj kepada Daily Star.
Januzaj mendakwa Van Gaal memperkenalkan taktikal skema yang dimainkannya pada tahun pertamanya bersama skuad utama United.
Dia memberitahu permainan United di era Van Gaal agak membosankan sehingga dia tidak dapat dengan bebas mengekspresikan dirinya di dalam padang.
“Saya tidak mendapat kebebasan yang sama di zamannya .Pemain sayap memerlukan keyakinan dan itu dapat diperoleh dari arahan pengurus untuk melepasi pemain lawan. Tetapi pada era itu, kami bermain dengan hantaran perlahan.
“Saya benar-benar kecewa ketika itu dan semua orang boleh melihat bahawa saya Adnan yang berbeza terutama ketika di tahun pertama. Saya juga beberapa kali diletakkan di tempat duduk penonton,” katanya. – MalaysiaGazette