Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Adnan Mat (kanan) menyampaikan anugerah kepada Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin pada Majlis Penyampaian Anugerah Tokoh Hari Pekerja CUEPACS 2020 di Jabatan Perangkaan Malaysia, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 01 MEI 2020.

PUTRAJAYA – Jabatan Perangkaan Malaysia sedang meneliti sektor beroperasi secara tidak formal membabitkan kira-kira dua juta orang pekerja yang bergantung kepada gaji harian dan tidak mempunyai sistem dokumen yang teratur.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Uzir Mohd Mahidin berkata, ia merupakan permintaan daripada kerajaan selepas sektor berkenaan dikenalpasti antara yang terjejas sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, sektor ekonomi tidak formal itu mudah dibuka dan ditutup dan tidak memerlukan modal besar seperti sektor ekonomi lain.

“Oleh demikian dalam hal ini, kerajaan meminta kami supaya maklumat sektor bekerja sendiri ini dikumpulkan segera dan kami sedang terlibat dalam perbincangan dengan pihak berkuasa tempatan bagaimana perkara ini diselaraskan kerana ia melibatkan kira-kira 159 daerah di negara ini.

“Kita sedang terlibat dalam kerja penyusunan itu untuk mendapatkan satu perangkaan data dan dokumentasi yang tepat mengenai dua juta orang yang bekerja sendiri,” katanya pada sidang media selepas majlis penyaipaian anugerah Tokoh Hari Pekerja 2020 hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Uzir menambah, jabatan berkenaan juga diminta untuk melihat sektor ekonomi yang terjejas terutamanya perusahaan kecil dan sederhana sepanjang PKP.

Katanya, ia termasuk meneliti sejauh mana wujud pengadaptasian aplikasi teknologi komunikasi maklumat (ICT) dalam perniagaan.

“Kerajaan juga meminta Jabatan Perangkaan mengenalpasti isu-isu halangan yang dialami aktiviti ekonomi sehingga kini sejak pelaksanaan PKP,” katanya. – MalaysiaGazette