AMMAN – Para petani Israel tidak lagi dibenarkan mengusahakan ladang di kawasan selatan Jordan, pengakhiran kebenaran yang diberi lebih 25 tahun.

Pengumuman yang dilakukan Kementerian Luar Jordan itu memberi gambaran hubungan buruk antara kedua-dua negara yang digariskan pembangkang Jordan yang vokal kepada rancangan Israel untuk meluaskan kawasan Tebing Barat yang dicerobohinya, lapor AP.

Di bawah perjanjian damai 1994, Jordan membenarkan Israel menyewa dua kawasan kecil di sepanjang sempadan, Baqura dan Ghamr selama 25 tahun.

Pada tahun lalu, Jordan berkata, ia tidak akan memperbaharui perjanjian itu tetapi bersetuju untuk membenarkan petani Israel terus menuai hasil tanaman mereka di Ghamr, yang dikenali sebagai Tsofar di Israel, untuk semusim lagi.

Bagaimanapun ia memerlukan para petani terbabit memohon visa dan memasuki negara itu menerusi pintu sempadan rasmi, namun sistem sebelum ini membenarkan mereka bebas memasuki kawasan tersebut.

Semalam, jurucakap Kementerian Luar Jordan, Dhaifallah Al-Fayez berkata, tempoh penuaian tambahan ‘akan berakhir petang ini’.

Menteri Luar Israel tidak mengulas mengenai perkara itu.

Perjanjian damai itu merupakan perjanjian damai antara Israel dengan negara Arab dan ia dimulakan dengan optimism yang tinggi namun hubungan antara kedua-dua negara terus merosot.

Perjanjian tersebut kekal menjadi aset penting untuk kedua-dua buah negara, dengan mengekalkan kerjasama keselamatan dan projek ekonomi.

Bagaimanapun pencerobohan Israel ke atas Tebing Barat dan dasarnya terhadap Jurusalem Timur yang mana Jordan mempunyai hak penjagaan ke atas kawasan bersejarah umat Islam sering kali meningkatkan ketegangan.

Sebahagian besar penduduk Jordan berketurunan Palestin, dan pandangan umum kekal menentang hubungan dengan Israel.

Semalam Jordan menyertai negara Arab lain mengutuk rancangan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu untuk memperluaskan kawasan Tebing Barat, termasuk penempatan Israel dan Lembah Jordan yang strategik.

Rancangan perluasan kawasan itu mungkin memadamkan harapan Palestin untuk menubuhkan sebuah negara bebas meliputi semua kawasan Tebing Barat.

Menteri Luar Jordan, Ayman Al-Safadi berkata, perluasan kawasan itu ‘akan membunuh penyelesaian dua negara, melemahkan asas proses damai dan mecetuskan konflik’. – Agensi