Pulau Kiribati

Sungguhpun lebih tiga juta orang di seluruh dunia dijangkiti koronavirus, namun masih ada 33 buah negara dan wilayah yang masih tidak mempunyai laporan mengenai kes virus tersebut.

Ia termasuk Comoros, Lesotho, Tajikistan, Turkmenistan dan negara-negara pulau kecil di Lautan Pasifik seperti Pulau Nauru, Kiribati dan Solomon.

Sehingga 20 April lalu, sebanyak 214 negara dan wilayah daripada 247 yang diiktiraf Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan mempunyai sekurang-kurangnya satu kes Covid-19, lapor Reuters.
Daripada jumlah itu, sebanyak 190 buah negara mengalami jangkitan tempatan – yang mana virus tersebut merebak antara komuniti. Sekurang-kurangnya 166 buah negara melaporkan kematian.

Hanya kerana sebuah negara tidak melaporkan satu jangkitan tidak bermakna ia tidak mempunyai kes.

Sebagai contoh, Korea Utara tidak melaporkan sebarang kes koronavirus tetapi ia bersempadan dengan China, Rusia dan Korea Selatan, yang mana kesemua negara itu berdepan dengan bilangan kes yang tinggi, bermakna virus tersebut mungkin telah menular ke nagara yang serba berahsia itu.

Beberapa trend boleh dilihat dengan melihat kepada penularan koronavirus di rantau-rantau.

Benua Asia berhadapan dengan dua gelombang jangkitan melepasi sempadan manakala di kebanyakan negara Eropah mula melaporkan kes pada akhir Februari.

Amerika Latin dan Afrika dilihat seperti bebas daripada virus itu pada Januari dan Februari lalu sebelum ia merebak dengan pantas di kedua-dua benua tersebut.

Lima negara dan wilayah berjaya menghapuskan virus tersebut selepas melaporkan kes. Negara tersebut adalah Anguilla, Greenland, Yemen dan negara-negara di kepulauan Caribbean iaitu St. Barts dan Saint Lucia.

Tiada laporan kematian atau kes jangkitan aktif dengan kes sebelum ini telah pulih sepenuhnya. – Agensi