KUALA LUMPUR – Usaha memastikan penularan Covid-19 dapat dibentung adalah bergantung dengan sikap dan disiplin rakyat Malaysia, kata Persatuan Doktor Islam Malaysia (PERDIM).
Jelas persatuan itu, tindakan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam fasa PKP Bersayarat tidak akan menjadikan Malaysia seperti Jepun dan Kanada yang menyaksikan peningkatan kes jangkitan Covid-19 mendadak sekiranya setiap rakyat sedar tanggungjawab masing-masing.
“Malaysia boleh longgar PKP pada bulan Mei 2020 dan tak semestinya kita akan jadi macam Jepun dan Kanada. Ini semua bergantung kepada sikap dan disiplin rakyat Malaysia,” kata PERDIM menerusi kenyataan hari ini.
Persatuan itu turut menasihatkan kerajaan kekal menutup semua pintu masuk antarabangsa bagi menghalang kemasukan pelancong perlu diteruskan demi membendung penularan Covid-19.
Selain itu, persatuan tersebut turut mencadangkan Kementeran Kesihatan Malaysia (KKM) mengeluarkan garis panduan berkaitan saringan pekerja dan peniaga susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula Isnin ini.
“Pihak KKM perlu keluarkan garis panduan berkaitan saringan pekerja dan peniaga ini. Apakah mereka semua perlu dilakukan pemeriksaan Rapid Test Kit (RTK). Ini adalah penting untuk memastikan pekerja benar-benar tidak berisiko untuk menjangkiti atau dijangkiti covid-19 nanti,” katanya.
Memahami keadaan ekonomi negara yang perlu diambil kira, walaubagaimanapun persatuan itu berpendirian kerajaan patut membenarkan pengoperasian sektor ekonomu secara berperingkat dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang sangat ketat.-MalaysiaGazette