Jadon Sancho dan Paul Parker (bulatan).

LONDON – Bekas pemain Manchester United, Paul Parker meminta bekas kelabnya untuk berfikir dua kali jika ingin membawa Jadon Sancho ke Old Trafford.

Parker berpendapat, perpindahan pemain sayap itu akan berpotensi untuk memalukan United pada masa akan datang.

Nama Sancho sering dikaitkan dengan Manchester United sejak tahun lalu kerana dikatakan diperlukan untu menambah sengat di barisan serangan tetapi United mesti bersedia menyediakan dana yang tinggi bagi mendapatnya kerana Borussia Dortmund telah menetapkan harga sekitar £100 juta untuk mendapat pemain itu.

Sekalipun benar United serius ingin mendapatkan pemain itu, Parker mengakui bahawa dirinya tidak dapat menerima keputusan jika bekas kelabnya itu harus membayar begitu mahal untuk merekrut Sancho.

Pada pandangan Parker, Sancho adalah pemain yang diagungkan dan menganggap bekas pemain Manchester City itu bukan pemain yang layak bernilai 100 juta pound pada musim panas ini.

“Semuanya bermula ketika dia bermain dengan baik dalam pasukan kebangsaan England. Kemudian tiba-tiba semua orang mengatakan bahawa dia adalah calon pemain bintang yang menjadi rebutan seterusnya.

“Dia memang orang England dan orang cenderung melebih-lebihkan kemampuannya. Saya secara peribadi tidak 100 peratus yakin dia begitu baik. Buat masa ini saya tidak pasti dia begitu baik dari pengamatan saya setakat ini,” katanya.

Parker berpendapat United harus benar-benar berfikir dengan bijak sebelum membeli Sancho kerana akan menanggung rasa malu besar jika kemudian Sancho menjadi pemain flop.

“Terdapat banyak kelab seperti United yang sanggup menghabiskan banyak wang untuk merekrut dia. Tetapi dengan wang sebanyak itu, mereka boleh malu pada diri mereka sendiri. Contohnya anda dapat melihat Paul Pogba di mana United menghabiskan banyak wang untuk mendapatkannya semula. Tetapi lihatlah apa yang mereka terima ketika ini.

“Saya rasa perpindahan ini terlalu berisiko dan kami melihat apa yang akan terjadi kemudian kerana wabak Covid-19 juga akan mempengaruhi perpindahan ini.” katanya.

Nama Sancho sering dikaitkan dengan United sejak tahun lalu kerana dia diperlukan oleh barisan serangan United. – MalaysiaGazette