Hazwan Mohamad

KUALA LUMPUR – Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula hukuman pemandu mabuk yang dikenakan hukuman maksimum denda hanya RM10,000 dan penjara sehingga 12 bulan sahaja.

Sedangkan kematian akibat pemandu mabuk ini telah menyaksikan lebih ramai isteri kehilangan suami, ibu kehilangan anak dan anak-anak kehilangan tempat bergantung.

Mengikut statistik Polis Diraja Malaysia, tahun 2017 sahaja merekodkan 212 kes kemalangan maut manakala tahun 2018 sebanyak 191 kes.

Tahun lalu pun masih banyak kes kemalangan maut akibat pemandu mabuk, kata Hazwan Mohamad, Ketua Angkatan Pemuda Pemudi Parti Berjasa.

”Apakah harus kita dihidangkan lagi, lagi dan lagi berita kematian demi kematian disebabkan pemandu mabuk?

”Peruntukan sedia ada untuk hukum pemandu yang langgar mati hanyalah maksimum denda RM10,000 dan penjara maksimum 12 bulan melalui Seksyen 43, Akta Pengangkutan Jalan 1987. Sudah pasti jelas lagi nyata bahawa undang-undang ini tidak memadai,” katanya.

Beliau mengulas pemergian Koperal Safwan Muhammad Ismail akibat dirempuh oleh sebuah Toyota Hilux ketika bertugas dalam sekatan jalan raya di Lebuhraya Lekas.

Menurutnya, jika dibanding dengan negara lain Malaysia mengenakan hukuman yang sangat ringan sedangkan kadar denda dan penjara di Singapura beratus kali ganda, termasuk digantung lesen selama setahun.

Di Russia, lesen memandu digantung seumur hidup manakala Taiwan sudah meluluskan draf pindaan untuk hukuman mati kepada pemandu mabuk yang menyebabkan kematian

”Saya kira sudah sampai masanya kerajaan menggubal sebuah undang-undang untuk mengetatkan operasi penjualan arak di premis-premis khas alkohol berdaftar sahaja.

”Kita semua tahu kita semua nampak betapa meriahnya botol-botol dan tin-tin arak di kedai serbaneka 24 Jam 7Eleven, KK Mart dan 99 Speedmart! Ini semua tidak berlaku di negara-negara maju yang telah menguatkuasakan akta penjualan arak secara terhad,” ujarnya.

Katanya, penjualan seumpama ini adalah salah satu punca mengapa makin ramai pemandu yang memandu secara mabuk.

”Soalnya! Kerajaan manakah? Pemimpin manakah? Parti politik manakah? Yang mampu untuk menggegar industri arak tanahair, yang mampu mencuit tokey-tokey arak?,” soalnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

Comments are closed.