Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Perbadanan Labuan (PL) menambah peruntukan bagi perusahaan kecil dan sederhana serta perusahaan kecil di Labuan yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Penambahan inisiatif Wilayah Cakna ini dapat meringangkan beban yang ditanggung oleh syarikat-syarikat yang tidak beroperasi semasa PKP di Labuan.

Berikutan itu, sebanyak 30% diskaun diberikan ke atas pajakan 108 lot tanah PL yang dipajakkan kepada 85 syarikat yang menjalankan aktiviti berkaitan dengan minyak dan gas, logistik, komersial, kejuruteraan awam serta pelancongan di Labuan.

Ini melibatkan 95 perjanjian dan tempoh pemberian diskaun selama 5 bulan bermula bulan Mac lalu hingga Julai ini, kata Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Menurutnya, keseluruha kos yang ditanggung bagi pemberian diskaun ini sebanyak RM987,292.82.

Terdapat 78 perjanjian bagi kadar pajakan di bawah RM10,000, 17 perjanjian bagi kadar pajakan antara RM11,000 hingga RM50,000 dan satu perjanjian melebihi RM100,000 sebulan.

Pihak syarikat boleh menghubungi Jabatan Penilaian, Pelaburan dan Pengurusan Harta PL di talian 087-408650 bagi sebarang pertanyaan lanjut. – MalaysiaGazette