Tidak dapat dinafikan, setiap golongan lapisan masyarakat dan setiap sektor ekonomi telah terkesan dengan Perintah Kawalan pergerakan (PKP) semenjak ianya mula diperkenalkan
pada awal Mac 2020. Masa berlalu dengan pantas, hasil daripada kerjasama rakyat dan juga usaha altruistik berterusan barisan hadapan telah hampir membuahkan hasil.
Kita sekarang berada dalam fasa pemulihan. Fasa yang mana kes sembuh mengatasi kes baru. Jumlah kes aktif berkurangan saban hari. Beban kepada barisan hadapan dan kemudahan hospital juga berkurangan. Fasa ini juga adalah satu fasa yang kritikal, dan mendebarkan. Ini kerana, risiko gelombang jangkitan baru sentiasa ada terutamanya apabila kita terburu-buru untuk kembali kepada keadaan sebelum wabak Covid-19 bermula.
Normal baru – satu terminologi yang sering kita dengar dan baca di media massa dan media sosial. Ianya membawa maksud, rutin harian yang kita akan jalani tidak akan sama seperti rutin harian kita sebelum ini. Suka ataupun tidak, normal baru ini adalah realiti dan manusia sejak berkurun lama hidup dengan mengadaptasi dengan persekitaran dan keadaan baru
demi kelangsungan hidup. Yang gagal, akan tercicir dan lama kelamaan hilang daripada muka bumi ini.
Mungkin benar ada pendapat yang mengatakan bahawa wabak Covid-19 ini adalah umpama butang 'reset' kepada tamadun manusia. Berubah atau berdepan dengan natijah
yang amat buruk. Covid-19 telah membuktikan yang walaupun virus ini tidak dapat dilihat, kesan buruk akibat daripada penularan wabak ini adalah amat nyata. Bukan sahaja dunia
berdepan dengan krisis kesihatan komuniti, malah ekonomi dunia juga merudum dengan amat teruk. Kesan langsung dapat dilihat dengan kejatuhan harga minyak di Amerika Syarikat, WTI di bawah paras sifar. Ini merupakan sejarah dunia yang berlaku pada generasi hari ini.
Amat sukar untuk merancang tatacara hidup, dan aktiviti sosial dan ekonomi era normal baru apabila para saintis dan pakar kesihatan masih lagi cuba mengenali virus ini dengan lebih mendalam. Artikel demi artikel telah ditulis dan diterbitkan di jurnal-jurnal saintifik dan perubatan. Usaha untuk menghasilkan vaksin juga amat giat dijalankan sekarang. Pencarian ubat yang paling berkesan juga masih berlangsung. Setiap hari kita belajar ratusan fakta baru mengenai virus koronavirus ini.
Setakat ini, tiada lagi ubat yang berkesan, tiada lagi vaksin yang terbukti mampu untuk memberi imuniti kepada manusia dan yang lebih penting, masih tiada petunjuk yang kukuh bahawa pesakit yang sembuh daripada Covid-19 mempunyai imuniti kepada virus ini. Ini sekaligus akan menjadikan frasa 'herd immunity' ataupun immunity umum tidak bermakna.
Secara mudah, umat manusia akan sentiasa terdedah kepada risiko jangkitan dan penularan Covid-19 yang berpanjangan. Seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian Kesihatan
Malaysia (KKM) bahawa Covid-19 akan berlegar-legar dalam tempoh 1-2 tahun.
Antara punca kejayaan kita membendung wabak Covid-19 ini adalah kerana kita menghentikan semua aktiviti ekonomi dan aktiviti harian rakyat – kita berjaya melandaikan lengkung jangkitan atau “flatten the curve”. Namun, negara kita tidak boleh berhenti selama-lamanya. Implikasi 'hiatus' aktiviti sosioekonomi dalam jangka masa panjang akan mengakibatkan kemelesetan ekonomi yang amat serius.
Langkah yang diambil oleh Kerajaan Malaysia setakat ini adalah langkah yang bertepatan dan terbukti berkesan. Lebih sukar untuk membuat keputusan bila masa sesuai untuk mengorak
langkah seterusnya. Fasa pemulihan ini bukan hanya untuk memulihkan negara daripada jangkitan virus tetapi juga untuk memulihkan ekonomi negara.
Keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri, YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah umpama “ditelan mati Makcik Kiah, diluah mati Pak Salleh”.
Mungkin begitulah perumpamaan yang sesuai yang bermain di minda pemimpin-pemimpin negara di MKN termasuklah Ketua Pengarah Kesihatan. Keputusan yang dibuat tidak akan
memuaskan hati semua pihak, dan apa-apa keputusan yang dibuat ada pro dan kontra masing-masing. Pihak pembangkang dari Pakatan Harapan, masih bermain politik dan seolah-olah segala tanggungjawab terletak diatas bahu Perdana Menteri sahaja.
Persepsi ini perlu diperbetulkan dengan segera. Setiap daripada kita bertanggungjawab terhadap diri sendiri, keluarga, komuniti dan negara. Normal baru memaksa kita untuk mengubah tatacara kita berniaga, bersosial, berinteraksi dan bertugas. Normal baru bermakna kita terus mengamalkan penjarakkan sosial, mengelak daripada berkumpul beramai-ramai, membasuh tangan secara kerap, memakai penutup muka terutamanya jika
ada gejala yang konsisten dengan jangkitan Covid-19, selsema.
Normal baru akan menjadi suatu yang janggal pada permulaan, tetapi ia mungkin satu-satunya cara untuk mengelak daripada penularan semula Covid-19. Normal baru mendesak kita supaya prihatin terhadap komuniti. Jika ada antara kita yang demam, batuk, sesak nafas atau mempunyai gejala Covid-19, langkah yang perlu diambil adalah memakai topeng mulut dan hidung, mengasingkan diri, mendapatkan nasihat doktor secara atas talian, dapatkan ujian dengan segera dan jejak kontak rapat yang mungkin berisiko untuk dijangkiti.
Normal baru meletak tanggungjawab yang tinggi terhadap seseorang individu demi kebaikan majoriti.
Covid-19 berpunca daripada novel koronavirus iaitu virus yang begitu asing kepada sistem imuniti manusia. Kesan yang dibawa oleh Covid-19 juga adalah tidak pernah dijangka. Maka,
langkah yang perlu diambil juga adalah tidak konvensional. Walaupun tampak mudah, ianya memerlukan kerjasama dan disiplin yang tinggi daripada semua.
Kita perlu menjaga kesihatan masing-masing supaya kita dapat menjaga kesihatan negara. Fikir apa yang kita boleh sumbangkan kepada negara, dan bukan apa yang negara boleh sumbang kepada kita. Rakyat adalah nadi negara, tiada rakyat tiadalah negara.
Ingatlah, kita berada di dalam keadaan “perfect storm” atau ribut luar biasa di mana negara berhadapan krisis kesihatan akibat wabak COVID-19 dan kini menghampiri keadaan kemelesetan ekonomi global. Semua pihak harus bersatu hati dan bekerjasama agar kita berjaya keluar daripada krisis-krisis ini. Tidak mustahil Malaysia boleh melakukannya. Dewan Pemuda IKATAN Malaysia (DPIM) mengambil kesempatan ini untuk menyatakan setinggi-
tinggi penghargaan kepada pasukan barisan hadapan yang telah melakukan lebih daripada termampu untuk memastikan kesan wabak Covid-19 terhadap kesihatan rakyat Malaysia
adalah terkawal.
Oleh: Shahir Adnan, Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia