Mohamed Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mempersoalkan tindakan beberapa negeri menangguhkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sebagaimana diumumkan kerajaan berkuatkuasa hari ini.

Beliau berkata, tidak sepatutnya keputusan kerajaan untuk ‘restart’ (memulakan semula) hampir keseluruhan sektor ekonomi melalui strategi pelonggaran PKPB mendapat pelbagai reaksi.

Katanya, keputusan beberapa kerajaan negeri itu di luar jangkaan sama sekali.

“Kebanyakan kerajaan negeri telah membuat keputusan untuk tidak melaksanakan saranan Kerajaan Pusat.

“Mereka mengambil langkah berhati-hati dengan tidak membenarkan sektor perniagaan dan perdagangan beroperasi seperti yang disarankan kerana tiadanya ‘a soft landing exit strategy’.

“Walaupun keputusan kerajaan pusat dalam hal ini diyakini telah dibuat dengan mendapatkan nasihat saintifik terbaik serta berpandukan data yang meyakinkan, namun strategi pelaksanaanya adalah tidak kemas dan inklusif,” katanya dalam kenyataan yang dimuatnaik menerusi akaun Facebooknya, hari ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan Hari Pekerja 1 Mei lalu dilaporkan berkata, kerajaan akan melaksanakan PKPB yang merupakan pendekatan ketiga sebagai langkah membula semula aktiviti ekonomi di seluruh negara secara terjawal dan berhati-hati.

Dalam ucapannya itu, beliau menegaskan, sebahagian besar daripada aktiviti ekonomi dan sosial akan dibenarkan, kecuali beberapa aktiviti yang melibatkan perhimpunan ramai dan mendedahkan orang awam kepada risiko jangkitan wabak Covid-19.

Namun, keputusan itu tidak disenangi beberapa negeri, apabila kerajaan Sabah, Sarawak, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Pahang dan Pulau Pinang mengumumkan akan menangguhkan pelaksanaannya.

Mohamed Khaled yang juga Naib Presiden UMNO berkata, satu masalah nyata berlaku ialah kegagalan Menteri Kanan yang bertanggungjawab dalam hal ehwal ekonomi berbincang, berunding dan mendapatkan konsensus dari semua kerajaan negeri sebelum keputusan itu diumumkan.

Ujar beliau, adalah penting untuk keputusan sepenting itu dibawa berbincang dengan semua kerajaan negeri untuk mendapatkan persetujuan semua.

“Namun ia jelas tidak dilaksanakan, dan kegagalan ini menunjukkan kelemahan ketara dalam kepimpinan, strategi dan penyelarasan yang berkaitan dengan pemulihan ekonomi negara.

“Ia telah merumitkan sektor perniagaan dan perdagangan kerana ekonomi Malaysia sifatnya adalah rentas negeri dan sempadan.

“Tetapi, yang lebih terkesan ialah kewibawaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dalam menangani fasa pemulihan ekonomi negara,” katanya.

Beliau menjelaskan, apa berlaku adalah permulaan yang tidak baik dan menjejaskan keyakinan rakyat terhadap pentadbiran PN.

“Kabinet PN mesti mengambil teladan dari insiden ini. Naratif baru dalam sistem federalisme kita telah muncul.

“Hubungan kerajaan pusat dengan negeri-negeri dalam Persekutuan telah menampakkan ‘the new normal’. Zaman di mana semua kebitaraan adalah pada kerajaan pusat telah berakhir,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast