Petugas KKM berehat seketika selepas membuat saringan kesihatan ke atas peniaga dan pekerja ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette pada hari ke-43 Perintah Kawalan Pergerakan berikutan penularan wabak Covid-19 di Pasar Besar Jalan Othman, Petaling Jaya. foto FAREEZ FADZIL, 29 APRIL 2020

SYDNEY – Kes global koronavirus melepasi 3.5 juta orang pada hari ini, dengan angka kematian menghampiri suku juta walaupun kadar korban dan angka baharu mula menurun selepas mencapai kemuncak bulan lalu.

Amerika Utara dan negara-negara Eropah menyumbang kebanyakan kes baharu yang dilaporkan dalam beberapa hari ini, tetapi jumlahnya meningkat dari Amerika Latin, Afrika dan Rusia.

Di seluruh dunia, terdapat 84,004 kes baharu dalam tempoh 24 jam, menurut Reuters, menjadikan jumlah kes lebih daripada 3.5 juta.

Angka itu dibandingkan dengan sekitar 3 juta hingga 5 juta kes penyakit teruk yang disebabkan setiap tahun oleh influenza bermusim, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Meskipun begitu, pakar-pakar percaya jumlah kes koronavirus lebih tinggi berbanding laporan, tetapi masih jauh berbanding jangkitan selsema Sepanyol, yang bermula pada tahun 1918 dan menjangkiti sekitar 500 juta orang.

Jumlah kematian berkaitan virus baharu ini naik kepada 245,992 orang selepas kes maut kali pertama dilaporkan pada 10 Januari di Wuhan.

Kadar harian kes baru di seluruh dunia erada dalam julat 2% -3% selama seminggu yang lalu, berbanding puncak sekitar 13% pada pertengahan bulan Mac, mendorong banyak negara melonggarkan sekatan ke atas ekonomi.

Walaupun jumlah kes baharu mencapai puncaknya sebanyak 104,495 yang dilaporkan dalam satu hari pada minggu lalu, jumlahnya masih sekitar 80,000 hingga 90,000 kes sehari di seluruh dunia. – MalaysiaGazette