Foto hiasan

PUTRAJAYA – Kes-kes yang telah ditetapkan untuk pendengaran di mahkamah terbuka akan bermula secara berperingkat mulai 13 Mei ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Unit Komunikasi Korporat Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan (PKPMP), Ketua Hakim Negara Tan Sri Tengku Maimun Tuan Mat juga telah mengarahkan beberapa perkhidmatan di mahkamah di seluruh negara beroperasi bermula esok.

Antara perkhidmatan yang akan beroperasi adalah Pejabat Pendaftaran, Kaunter Setempat, Kaunter Pesuruhjaya Sumpah, Kaunter Surat Kuasa Wakil, Kaunter Biro Perkhidmatan e-Filing serta Bahagian Pengurusan dan Kewangan di Pusat Tanggungjawab dan Pusat Kos.

Ia berikutan pengumuman Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 1 Mei lepas dan surat Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Mohd Khairul Adib Abd Rahman bertarikh 2 Mei mengenai operasi pejabat kerajaan dan sebagai mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Menurut kenyataan PKPMP, satu garis panduan pengendalian kes dan tatacara pengendalian piawai pencegahan wabak COVID-19 semasa tempoh PKPB dan pasca-Perintah Kawalan Pergerakan akan dikeluarkan.

Mahkamah juga akan memastikan garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sentiasa dipatuhi sebagai langkah pencegahan penularan wabak COVID-19 dalam menjalankan operasi mahkamah.

Semua pihak yang berurusan dengan mahkamah adalah dimohon untuk mematuhi arahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh mahkamah, MKN dan KKM.

Pihak terlibat boleh menghubungi Pejabat Pendaftaran Mahkamah/ Bahagian untuk sebarang pertanyaan melalui e-mel dan nombor telefon seperti berikut:

 

Mahkamah Persekutuan: [email protected] (03-88803561)

 

Mahkamah Rayuan: [email protected] (03-88804045)

 

Mahkamah Tinggi Malaya: [email protected] (03-88803704)

 

Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak: [email protected] (088-286100)

 

Mahkamah Rendah Malaya: [email protected] (03-88809418)

 

Mahkamah Rendah Sabah dan Sarawak: [email protected] (082-442228)

 

Media dan Perhubungan Awam: [email protected] (03-88804607)

 

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast