KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Kerja Raya mengarahkan syarikat pemaju menutup tapak pembinaan di Ampang kelmarin berikutan berlaku kes positif Covid-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, siasatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati kes itu melibatkan pekerja warga asing yang bekerja di tapak pembinaan berkenaan.
“Untuk membendung penularan itu, Kementerian Kerja Raya telah mengarahkan tapak pembinaan berkenaan ditutup serta merta. Dalam pada itu, kerajaan yang bermesyuarat hari ini bersetuju setiap pekerja asing di semua sektor wajib melakukan saringan Covid-19.
“Kos saringan akan ditanggung oleh majikan masing-masing dan Kementerian Kesihatan mencadangkan saringan itu dimulakan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.
Mengenai penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula hari ini, Ismail Sabri menegaskan, penguatkuasaan lebih tertumpu kepada pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP).
Jelas beliau, ini kerana sebahagian daripada sektor ekonomi dan industri yang tidak bergerak sepanjang PKP mula dibenarkan beroperasi.
Namun, begitu katanya, Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) masih lagi berkuatkuasa, bukan sudah ditarik balik.
“Ramai yang keliru seolah Akta 342 ini tidak lagi berkuatkuasa, sedangkan pematuhannya sama dari PKP satu hingga PKP lima. Hukuman bagi yang ingkar akta ini tetap sama iaitu denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya sekali,” katanya. – MalaysiaGazette