Menara City One antara tiga kawasan yang dikenakan perintah PKPD telah tamat penguatkuasaan semalam.

KUALA LUMPUR – Tiga kawasan yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) telah ditamatkan semalam.

Bagaimanapun, tempoh PKPD di beberapa lokaliti di Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur terpaksa dilanjutkan sehingga 12 Mei ini, demikian kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ketiga-tiga kawasan yang ditamatkan PKPD itu ialah Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Sungai Lui, Hulu Langat.

Katanya, Menara City One, Malayan Mansion, Selangor Mansion dan kawasan sekitar Jalan Masjid India juga telah ditamatkan semalam.

Ini termasuk, Pusat Bandar Utara, Kuala Lumpur, Parcel A dan B yang meliputi Jalan 6/3A dan 9/3A, Pusat Bandar Utara Kuala Lumpur serta Pasar Borong Kuala Lumpur akan tamat pada hari ini.

“Bagi Parcel C, D, E1, E2, E3 dan F PKPD Pusat Bandar Utara, kerajaan atas nasihat Menteri Kesihatan telah memutuskan untuk melanjutkannya sehingga 12 Mei ini,” katanya pada sidang media khas di Putrajaya hari ini.

Berhubung pergerakan rentas daerah dan negeri, Ismail Sabri menyatakan, mulai hari ini tidak ada lagi syarat bergerak dalam daerah sekitar 10 kilometer radius di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Bagaimanapun, ujar beliau, kerajaan masih mengekalkan larangan merentas negeri, melainkan orang ramai yang terperangkap di kampung dan hendak pulang ke bandar, boleh memohon di balai polis.

Sementara itu, beliau meminta orang ramai membantu pihak berkuasa terhadap mereka yang melanggar PKP dengan melaporkan kepada polis di balai berdekatan, pihak berkuasa tempatan (PBT) mahupun menerusi hotline Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Saya menyeru kepada orang awam agar bersama membantu kerajaan memastikan rakyat mematuhi SOP PKP. Yang nampak dengan jelas sesiap ingkar, terus lapor kepada polis berdekatan.

“Mereja juga boleh melaporkan kepada pejabat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) seperti Majlis Daerah, Majlis Perbandaran atau hotline MKN 8888 2010 atau mygcc 80008000 yang beroperasi 24 jam,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast