Pelanggan berurusan di kaunter utama di Bangunan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB), Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 08 JUN 2017

COVID-19 memberi satu pengajaran yang cukup besar mengenai pentingnya melabur dan membina tabungan. Tanpa tabungan ramai yang kini tiba-tiba hilang sumber kewangan tanpa sebarang talian hayat untuk kelangsungan hidup diri dan keluarga.

Pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasa untuk meratakan geraf Covid-19, telah membataskan pergerakan rakyat seterusnya menyebabkan ramai yang secara tiba-tiba berdepan masalah kewangan akibat hilang punca pendapatan atau terpaksa menerima potongan gaji.

Sektor peruncitan, penerbangan dan perhotelan adalah antara sektor yang menerima tamparan hebat hingga menyebabkan ada yang terpaksa membuang pekerja atau mengurangkan gaji sehingga 50 peratus.

Tabungan kecemasan yang sering diletak di tempat terakhir selepas tabungan untuk mengembara, tabungan untuk membeli gadget terkini, tabungan untuk membeli kereta, tiba-tiba menjadi satu tabungan penting yang semua orang berharap mereka memilikinya.

Bagi yang mempunyai simpanan seperti dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) mungkin ada sedikit kelegaan kerana sekurang-kurangnya mereka masih mempunyai talian hayat untuk meneruskan kehidupan.

Penangguhan pembayaran balik pinjaman untuk tempoh 6 bulan yang diumumkan Bank Negara Malaysia sememangnya satu pengumuman yang yang sangat melegakan terutama bagi mereka yang benar-benar buntu untuk menguruskan kewangan ketika ini.

Pengumuman ini dapat mengurangkan beban kewangan bagi kebanyakan isi rumah yang mana kira-kira 20 peratus atau lebih gaji bulanan digunakan untuk membayar pinjaman perumahan, kenderaan dan ada juga pinjaman peribadi.

Sebagai contoh, bagi yang membayar ansuran bulanan kereta dan rumah sebanyak RM2,000 sebulan, mereka kini mempunyai tunai sebanyak itu ditangan.

Mungkin ada yang teragak-agak untuk mengambil penangguhan ini, namun sebenarnya ia adalah satu peluang yang sangat baik untuk menyusun semula kedudukan kewangan kerana masa depan yang sangat tidak pasti.

Tiada siapa yang tahu apa akan berlaku selepas tempoh 6 bulan penangguhan berkenan berakhir. Adakah keadaan akan kembali normal dan kita dapatĀ  meneruskan aktiviti seperti biasa, atau mungkinkah keadaan menjadi lebih sukar?

Bagi yang masih mempunyai pendapatan, usah terlalu selesa kerana tiada siapa yang mampu meneka impak Covid-19 kepada ekonomi negara dan dunia.

Justeru amat penting wang tunai yang kini ada ditangan akibat penangguhan pembayaran ini digunakan dengan sebaiknya untuk menampung keperluan kewangan hari ini dan juga masa depan.

Jangan pula kerana adanya lebihan tunai akibat penangguhan ini, kita mula berbelanja tanpa berhemah, lebih-lebih lagi dengan Aidilfitri yang bakal tiba ini.

Adalah lebih baik jika separuh atau semua tunai yang kini ada berikutan penangguhan ini dilaburkan semula untuk membina tabungan dan meraih dividen untuk kegunaan masa depan.

Laburkan dalam ASB atau unit amanah ASNB harga tetap yang lain kerana ia merupakan lokasi pelaburan yang stabil dan paling penting, pelabur tidak berdepan risiko kehilangan modal berbanding jika wang berkenaan dilaburkan dalam unit amanah harga berubah atau pasaran saham.

Gambar hiasan

Rebut peluang untuk mendapatkan dividen lebih tinggi jika wang berkenana dilaburkan dalam ASB berbanding jika wang berkenaan dibiarkan saja dalam akaun simpanan. Oleh kerana ASB memberi dividen berdasarkan baki minimum bulanan, wang berkenaan akan menerima pulangan setiap bulan selagi ia tidak dikeluarkan.

Selepas tamat tempoh penangguhan, anda boleh mengeluarkan wang berkenaan pada bila-bila masa sekiranya memerlukan, namun jika tiada keperluan, biarkan saja ia dalam ASB untuk menikmati pulangan purata sekurang-kurangnya untuk 7 bulan.

Ketika berdepan kesukaran kewangan, kita perlu bijak mengatur kewangan dan mencari lokasi pelaburan yang selamat dan mampu memberi pulangan munasabah serta mempunyai kecairan tinggi yang mana wang boleh dikeluarkan pada bila-bila masa.

Jangan pula wang berkenaan dilaburkan dalam instrumen berisiko tinggi seperti pasaran saham kerana risiko kehilangan modal yang tinggi sedangkan wang berkenaan adalah talian hayat untuk kelangsungan hidup.

Mungkin harga saham sedang murah sekarang ini, namun pasaran saham hanya sesuai untuk anda yang ketika ini sudah sedia mempunyai tunai berlebihan, bukannya mempunyai wang yang cukup-cukup makan.

Malahan ia juga sukar untuk dijual semula dalam masa yang pantas memandangkan ia bergantung kepada kesediaan pembeli untuk membeli unit yang ingin dijual.

Selain itu, gunakan apa saja kelebihan dan bakat yang ada untuk mencipta sumber pendapatan sebagai contoh, contohnya menulis, membuat terjemahan atau menjadi runner dan penghantar barangan.

Covid-19 sememangnya satu cabaran yang tidak pernah terfikir oleh kita, namun sewajarnya ia menjadi satu pengajaran bahawa tabung kecemasan bukanlah satu perkara yang perlu dipandang mudah.

Melaburlah walau RM30 sebulan atau setiap kali kita mempunyai lebihan kerana ia mungkin menjadi satu-satunya talian hayat yang kita harapkan saat tiada lagi tempat lain untuk diharapkan. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast