Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) bersama Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdaganggan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Negeri Selangor, Datuk Teng Chang Khim (dua kanan) dan Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit (kiri) ketika Taklimat Kempen Selangor E-Bazar Raya Shopee di Bangunan SUK Selangor, Shah Alam. foto AFIQ RAZALI, 05 MEI 2020.

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor dengan kerjasama platform e-dagang Shopee membantu 5,000 usahawan untuk menjana jualan RM8 juta melalui kempen Selangor E-Bazar Raya, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Menurutnya, perkara itu disasarkan boleh dicapai dalam tempoh dua bulan dari sekarang.

“Agenda utama kerajaan Selangor adalah mendorong digitalisasi Pengusaha Kecil dan Sederhana (PKS) dan perniagaan mikro di negeri ini, di mana 5,000 perniagaan tersebut terdiri daripada 3,000 penjual atas talian baharu.

“Kempen ini akan memberi manfaat kepada 2,000 perniagaan dan menyaksikan pendaftaran 1,500 PKS konvensional untuk menjadi penjual dalam talian baharu dalam kempen Selangor E-Bazar Raya.

“Penjual-penjual ini akan diketengahkan dalam laman mikro yang direka khas untuk Selangor E-Bazar Raya, yang dimulakan hari ini oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Shopee,” katanya pada sidang media E-Bazar Raya bersama Shopee di bangunan SUK Selangor hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan Industri Kecil & Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim serta Ketua Kluster Barangan Pengguna Bergerak Pantas (FMCG) Shopee Malaysia, Tan Ming Kit.

Laman mikro E-Bazar Raya membolehkan pengguna mengakses kira-kira 900,000 produk daripada pelbagai jenis juadah raya, perkakas rumah, baju raya dan sebagainya dari Mei hingga Jun 2020.

Produk dalam laman mikro itu berbeza setiap minggu bagi memperkenalkan barangan dan penjual baharu, seterusnya memastikan laman ini kekal menarik.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, inisiatif E-Bazar Raya selama dua bulan ini bertujuan mengurangkan kesan ekonomi akibat wabak Covid-19.

“Inisiatif ini akan membantu usahawan tempatan yang terjejas dari segi perniagaan dan pendapatan oleh wabak ini dengan membawa produk mereka dalam talian dan mendorong penjualan melalui usaha pemasaran.

“Perkara ini seterusnya akan menjana pendapatan bagi para peniaga terutamanya pada musim perayaan ini,” katanya.

Pada masa sama, bazar Ramadan atas talian itu akan mendorong orang ramai untuk terus kekal di rumah dengan menawarkan kemudahan, kebolehcapaian dan harga mampu milik bagi barang-barang persediaan untuk sahur, buka puasa dan hari raya.

Menerusi kempen Selangor E-Bazar Raya, kerajaan Selangor menyasarkan untuk menghasilkan sekurang-kurangnya RM8 juta jualan bagi penjual yang menyertai kempen ini.

“Ini akan memberi pulangan lapan kali ganda daripada RM1 juta yang telah dilabur dalam bentuk baucar Shopee untuk meningkatkan perniagaan dan pendedahan di platform tersebut,” katanya.

Katanya lagi, Shopee akan memberikan sokongan bernilai RM1 juta kepada penjual dalam bentuk alat pemasaran termasuk penstriman langsung, Jualan Kilat Shocking Sale, dan penghantaran percuma RM19.

“Shopee akan memberikan latihan percuma secara berterusan melalui Shopee Universiti kepada semua peniaga Selangor.

“Ia bagi memastikan mereka mengikuti perkembangan semasa dan dilengkapi dengan kemahiran dan pengetahuan yang tepat untuk mengembangkan perniagaan atas talian mereka,” katanya.

Mereka yang berminat untuk menyertai kempen Selangor E-Bazar Raya di Shopee boleh mendaftar di pautan http://tiny.cc/selangorebazar secara percuma.

Untuk membeli-belah keperluan Ramadan dan Hari Raya pula, orang ramai boleh melayari E-Bazar Raya melalui https://shopee.com.my/m/selangor-E-Bazar-raya. – MalaysiaGazette