Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan satu mesej yang ditularkan hari ini, berhubung penahanan lima individu termasuk pegawai khas menteri.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi SPRM, Dato’ Sri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi memaklumkan berita berkenaan adalah palsu.

“Berita penangkapan ini palsu, SPRM menafikannya,” katanya ringkas ketika diminta mengulas kesahihan satu mesej yang ditularkan menerusi aplikasi Whatsapp hari ini.

Mesej tersebut menyebut tentang penahanan lima individu yang terdiri pegawai kanan, setiausaha kerja, kontraktor dan ketua parti politik dikatakan berkaitan membantu siasatan ke atas pembelian khas sistem ujian dan peralatan perubatan bagi menentang Covid-19 yang bernilai sekitar RM30 juta.

Sebuah portal tempatan hari ini melaporkan maklumat sumber mendakwa SPRM sedang menyiasat sebuah syarikat yang didakwa secara tidak layak mendapat kontrak kelengkapan makmal dianggarkan bernilai RM30 juta.

Menurut laporan tersebut, difahamkan syarikat sama mendapat kontrak membekalkan kelengkapan sistem makmal di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba semalam menyatakan kesediaan pihaknya bekerjasama dengan agensi rasuah bagi memastikan kementeriannya bersih dan berintegriti, ketika ada desas-desus pegawai di kementeriannya disiasat oleh SPRM.

Pada 30 April lalu, peguam Wee Choo Keong meminta KKM bersikap telus berhubung kontrak perolehan yang diberikan kepada sebuah syarikat yang didakwa tidak layak, yang membabitkan usaha melawan Covid-19.

Beliau mendakwa syarikat itu adalah sebuah syarikat pemaju hartanah tetapi mendapat kontrak melengkapkan makmal bagi tujuan saringan jangkitan dan kemudian untuk membekalkan PPE.

Sementara itu, sumber memaklumkan memang benar siasatan sedang dilakukan ke atas maklumat berkenaan tetapi ia masih di peringkat awal.

Menurut sumber itu juga, beberapa syarikat pembinaan juga telah dipanggil untuk membantu siasatan. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.