KUALA LUMPUR – Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Begitulah perumpamaan bagi mengambarkan usaha pertubuhan bukan kerajaan, syarikat korporat, yayasan serta orang perseorangan tampil menyumbang ketika negara sedang berhadapan pandemik Covid-19.

Tanpa mengambilkira latar belakang mahupun kaum, masing-masing tampil membantu sesiapa yang terjejas, lagi-lagi ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Antaranya UNITED SIKHS Malaysia yang merupakan pertubuhan antarabangsa berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS) bukan sahaja menyumbang barangan keperluan asas kepada lebih 1,500 keluarga memerlukan sejak bermulanya PKP.

Selain daripada itu, makanan harian vegetarian yang dimasak setiap hari sebelum diagihkan kepada yang memerlukan khasnya kumpulan di isthiyar Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan penularan pandemik.

Lebih 70,000 sumbangan paket makanan yang di masak itu akan dihantar ke dua lokasi pusat komuniti dikenalpasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebelum ia diagihkan.

MalaysiaGazette bercakap dengan Naib Presiden UNITED SIKHS di Malaysia, Mandeep Singh yang menjelaskan, hakikatnya walaupun pertubuhan mereka berasaskan kaum Sikh namun komitmen dan dasar kemanusian itu melangkaui semuanya.

Jelas Mandeep, bukan sahaja pandemik Covid sebaliknya isu kebajikan serta kemanusian sentiasa di perjuangkan oleh UNITED SIKHS di Malaysia selama ini tanpa mengira idealogi, fahaman mahupun laterbelakang.

“Ketika ini bukan sahaja Malaysia sebaliknya seluruh dunia sedang bertungkus lumus tangani, perangi Covid-19 yang belum lagi kita pasti apakah vaksin mahupun pengakhirannya. Semua sedang berduka dan ketika inilah ramai terjejas akibat penyakit ini.

“Kita tidak boleh biarkan kerajaan dan pihak berwajib sahaja memikul tanggungjawab dalam tangani isu ini sebaliknya sebagai warganegara kita semua punyai peranan, itulah yang kita juangkan selama ini.

“UNITED SIKHS di Malaysia juga turun padang, menyumbang apa yang perlu khasnya kebajikan mana-mana yang terjejas termasuklah warga asing. Makanan serta keperluan asas itu penting, ketika ini kita tidak boleh berkira atau bersikap tidak adil.

“Kami juga ada memberikan warga asing termasuk Indonesia Pakistan, India, Rohingnya dan Myanmar bantuan makanan. Ramai juga yang terjejas sehingga jangankan keperluan bahan asas untuk makanan tiada sebaliknya atas meja itu sendiri tidak berkemampuan,” katanya memulakan bicara.

Kata Mandeep, selain daripada menyalurkan keperluan asas serta makanan harian pihaknya juga telah menghantar satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada pelbagai profesion untuk membantu.

“Kepada yang terperangkap dan keseorang tanpa sebarang perhatian bantuan perubatan, pasukan kami tampil membantu. Jika hendak sentiasa berharap kepada frontliners agak sukar juga kerana mereka sedang berhadapan dengan kes-kes lebih serius.

“Kita ada enam pasukan sukarelawan yang sentiasa bersedia pada bila-bila masa malah seandainya ini berterusan, kami juga akan terus menyalurkan bantuan dan perkhidmatan kami sehingga semua berada dalam keadaan selamat, sekitar Lembah Klang dan sekitarnya.

“Andainya ada keperluan terdesak untuk pergi keluar dari Lembah Klang, kita akan pergi juga,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mandeep berkata, pihaknya tidak melakukan semua ini untuk mendapatkan apa-apa pengiktirafan sebaliknya rasa puas hati dan lega sekiranya golongan memerlukan mempunyai makanan atas meja saban hari.

“Ingatlah ketika kita sibuk menjaga keluarga kita, ada lagi yang susah di luar sana dan memerlukan sedikit sebanyak nilai perikemanusian kita. Marilah kita membuka hati dan berkongsi sekadar yang boleh bagi meringankan bebanan itu,” ujarnya. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast