Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed (kanan) bersama Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Al-Ishsal Ishak menunjukkan aplikasi Gerak Malaysia dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 06 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Seramai 503,276 pemohon bagi perjalanan rentas negeri bermula 7 hingga 10 Mei ini wajib mengemaskini aplikasi Gerak Malaysia yang sedia ada kepada versi terbaharu 2.5.

Langkah tersebut bagi menjana kod QR atau Kod Respon Pantas yang akan diimbas  oleh anggota polis sepanjang jadual perjalanan rentas negeri bermula esok sehingga Ahad ini di lebih 898 sekatan jalan raya di semua sempadan negeri seluruh negara.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed berkata, ia juga bagi mengesan dan menahan mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan merentasi negeri tanpa permohonan.

Tegas beliau, mereka yang melanggar arahan akan berdepan tindakan di bawah Peraturan 51 Alta Kawalan Penyakit Berjangkit dan Pencegahan Penyakit 2020.

“Selepas kemaskini anda dikehendaki memasukkan nama penuh alamat asal serta alamat destinasi perjalanan sebelum QR akan dijana dan akan dipapar di skrin telefon bimbit masing masing sebagai bukti pemohonan telah diluluskan.

“Sebelum ini hanya hanya diperlukan memohon dan kemaskini maklumat dan tiada kelulusan atau notifikasi kelulusan diberikan namun kod QR ini terpaksa juga dilaksanakan selepas perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Ia disebabkan statistik awal daripada 503,278 pemohon, hanya 29.5 peratus sahaja iaiu 148, 516,, membuat pengesahan bakinya 354,700 orang lagi tidak mengemaskini maklumat.

“Ini berkemungkinan dua faktor iaitu beranggapan hanya perlu memohon oleh kerana tiada notifikasi kelulusan selain menunggu sehingga saat akhir kemaskini,” katanya dalam sidang media di sini, hari ini.

Menurut Huzir, pihak polis mahu memastikan setiap individu tidak menyalahgunakan kemudahan atau mengambil kesempatan bergerak antara negeri tanpa kelulusan.

Setakat 12.30 tengahari ini, katanya, seramai 1,407,143 orang telah memuat turun dan mendaftarkan aplikasi Gerak Malaysia manakala 503,276 orang pengguna telah membuat permohonan untuk pergerakan perjalanan rentasi negeri.

Jumlah yang telah melakukan pengesahan untuk pergerakan antara negeri brmula 7 Mei ini adalah seramai 148, 516 orang manakala sehingga semalam sebanyak 13,069 permohonan manual diterima dan diluluskan balai polis di seluruh negara.

Menurut Huzir, penggunaan QR juga memudahkan kelancaran aliran kenderaan di jalan raya selain menjimatkan masa pemeriksaan polis di sekatan jalan raya.

“Setiap pemohon diwajibkan supaya aktifkan penjanaan kod QR beberapa jam sebelum memulakan perjalanan anda memandangkan ia hanya aktif selama 24 jam sahaja.

“Apabila diperiksa di sekatan jalan pengguna hendak mempamerkan Kod QR berkenaan dan ia akan diimbas oleh polis menggunakan alat imbas sebelum ia akan mengesahkan kelulusan perjalanan dan dibenarkan meneruskan pemanduan.

“Bagi 13,069 pengguna manual mereka perlu menunjukkan borang kelulusan perjalanan rentasi negeri yang disahkan balai polis dan kesemua proses imbasan ini akan membantu kementerian kesihatan serta polis mengesan kontak rapat sekiranya individu yang bergerak terkesan positif Covid-19,” ujarnya.

Huzir menyatakan keyakinan bahawa aplikasi Gerak Malaysia yang diusahakan untuk perjalanan mereka yang terkandas diharap 90 peratus membawa kejayaan misi mereka.

Malah beliau juga menegaskan bahawa mana-mana individu yang mahu mengambil mana-mana ahli keluarganya termasuk isteri dan anak yang terkandas di mana-mana zon utara, selatan, timur atau barat perlu menunggu giliran jadual perjalanan zon itu untuk berpatah balik bersama mereka ke ibu negara.

Bagaimanapun tegas beliau, pengangkutan awam seperti bas ekspres atau penunggang motosikal tidak dibenarkan merentasi negeri disebabkan sukar untuk memastikan penjarakan sosial.

“Sekatan jalan di lebih 98 sekatan jalan raya bermula semalam sudah bersiap sedia menerima perjalanan merentasi negeri mulai esok dan kawalan sudah diperketatkan di sempadan negeri-negeri dan ia akan memastikan mereka yang cuba menipu kami dikesan dan dicekup.

“Untuk kesemua yang akan meneruskan perjalanan esok, jaga keselamatan anda semasa memandu dan ingat enam perkara penting terutamanya tiada kemudahan istirehat atau makanan atau kemudahan bersolat di sepanjang lebuh raya.

“Maka anda perlu memastikan tidak melanggar enam perkara itu kecuali untuk kecemasan ke tandas yang dibuka setiap masa dan mengisi petrol di stesen minyak dari 6 pagi hingga 12 tengah malam sahaja,” tegasnya. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast