Ahmad Faizal Azumu

KUALA LUMPUR – Kerajaan Perak menyahut pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), demi untuk kepentingan rakyat dan tanggungjawab kolektif memerangi pandemik Covid-19.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, serentak itu juga kerajaan negeri membenarkan sektor industri dan aktiviti perniagaan beroperasi secara menyeluruh berkuatkuasa Isnin lalu.

“Kita lakukan ini setelah mengambil kira kepentingan rakyat serta tanggungjawab kolektif kerajaan negeri untuk memerangi wabak Covid-19.

“Pelaksanaan ini juga menerima pakai prosedur operasi standard (SOP) pembukaan ekonomi yang diumumkan Kerajaan Persekutuan baru-baru ini.

“Kerajaan negeri membuat keputusan ini pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri Khas Bil 5 Ahad lalu,” katanya dalam kenyataan di Ipoh, semalam.

Namun begitu, kata Ahmad Faizal, masih ada beberapa sektor belum dibenarkan beroperasi seperti makanan, sukan dan rekreasi.

Kata beliau, bagi perniagaan kecil seperti warung, penjaja, kedai makan, restoran atau kenderaan saji boleh beroperasi, tetapi kaedahnya ialah pembelian bungkus dan penghantaran sahaja.

“Namun, pasar segar tanpa premis masih tidak dibenarkan beroperasi, bagi mengelak berlaku kesesakan dan himpunan dalam kelompok tertentu sehingga melanggar penjarakan sosial.

“Kita nasihatkan pengusaha restoran dan premis makanan mematuhi SOP seperti mengambil suhu badan pekerja, mengawal jumlah pelanggan dan jarak sosial serta mewajibkan memakai penutup mulut dan mencuci tangan,” katanya.

Beliau menyatakan, kerajaan negeri itu berpendirian semua pengusaha restoran dan premis makanan mesti mengambil langkah persediaan sebelum memutuskan membenarkan semula pelanggan makan di premis.

Selain itu, katanya, kerajaan negeri juga menubuhkan pasukan khas di peringkat pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri bagi tujuan pemantauan dan penguatkuasaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast