Foto hiasan

KUALA LUMPUR – Orang ramai yang membuat perjalanan rentas negeri bermula esok (7 Mei) mesti terus menuju ke rumah masing-masing dan hanya dibenarkan berhenti di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk ke tandas atau berehat sebentar.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkhidmatan medan selera dan surau di kawasan R&R masih lagi ditutup.

“Penguatkuasa akan ditempatkan untuk memantau situasi di R&R dan sekiranya anda perlu berehat selepas penat memandu, anda tidak dibenarkan merayau-rayau di kawasan R&R.

“Hanya duduk sahaja di dalam kereta. Begitu juga dengan penggunaan tandas, hanya yang mahu menggunakan tandas sahaja keluar manakala yang lain perlu menunggu di dalam kereta,” katanya dalam sidang media hari ini.

Stesen-stesen minyak di sepanjang lebuh raya beroperasi setiap hari pada jam 6 pagi hingga 12 malam, tambahnya.

Ismail Sabri berkata, setiap individu yang mahu melakukan perjalanan rentas negeri perlu mematuhi jadual yang telah dikeluarkan oleh pihak polis.

Ini termasuk perjalanan jauh yang memerlukan mereka bermalam di lokasi yang dituju sebelum pulang semula ke kediaman masing-masing.

“Bagi yang mahu mengambil anak yang mungkin sudah terlalu lama berada di kampung dan tempatnya jauh, contohnya di Perlis yang mana tidak mungkin boleh dilakukan dalam masa sehari, anda hendaklah mematuhi jadual perjalanan yang telah dikeluarkan oleh pihak polis.

“Jika perjalanan tersebut tidak jauh, lebih baik dibuat dalam masa sehari,” katanya lagi.

Pihak polis telah memperuntukkan empat hari bermula esok sehingga 10 Mei ini kepada semua yang terkandas di kampung atau tempat lain untuk pulang ke kediaman masing-masing.

Ia juga membenarkan ibu bapa untuk pulang ke kampung mengambil anak masing-masing kembali ke kediaman.

Esok, hanya orang ramai yang berada di Kuala Lumpur sahaja dibenarkan membuat perjalanan rentas negeri.

Mereka di negeri Perak, Johor dan Kelantan dibenarkan untuk bergerak pada 8 Mei manakala 9 Mei dikhususkan kepada mereka yang berada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang untuk melakukan perjalanan rentas negeri.

Pada 10 Mei, hanya orang yang berada di Selangor, Negeri Sembilan dan Terengganu dibenarkan melakukan perjalanan.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast