Ibrahim Ali
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Cakap-cakap mengenai kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh tumbang bila-bila masa kerana dikatakan gagal menangani banyak masalah melanda negara ketika ini, suatu petanda tidak sedap didengar.

Tambahan pula, PN yang dikatakan kerajaan pintu belakang, dibentuk dari parti yang mempunyai sokongan rapuh di kalangan sesama sendiri, boleh menyebabkan pelabur asing hilang keyakinan dan memberi ancaman kepada keselamatan negara.

Justeru, Presiden Parti Bumiputera Perkasa (Putra), Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, parti itu dari awal lagi berpendirian, pilihan raya umum (PRU) perlu diadakan bagi membolehkan rakyat menentukan mandat baharu dan membentuk kerajaan lebih kuat dan utuh.

Katanya, Putra sebelum ini pernah memohon ampun perkenan Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan Dewan Rakyat kerana berlaku lompat melompat di kalangan Ahli-ahli Parlimen.

Jelas beliau, keadaan itu ibarat penyakit yang kekal tanpa kesembuhan jika tidak dikembalikan melalui mandat rakyat.

“Selain kegawatan politik, negara juga dalam keadaan bahaya akibat wabak pandemik Covid-19 yang menular di seluruh dunia. Virus ini meragut nyawa dan membunuh sistem perniagaan. Akhirnya, ekonomi kian gawat dan rakyat kehilangan pekerjaan.

“Malaysia lagi tenat kerana dihimpit oleh pelbagai masalah. Antara isu yang amat serius ketika ini ialah perkauman dan kebanjiran pendatang asing tanpa izin (Pati).

“Malah, banyak lagi isu lain yang bertimbun seperti pekerja asing, pelarian etnik Rohingya, pelancong China dan India yang tidak pulang ke negara asal yang menjadi barah kepada keselamatan negara,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Menurut Ibrahim, keseluruhan warga asing dari pelbagai negara, sama ada masuk secara sah mahupun haram, melebihi tujuh juta orang, suatu angka yang amat mengerunkan.

Disusuli pula, tegasnya, dengan isu penjualan Mykad kepada warga asing ini merupakan perbuatan khianat dan derhaka kepada negara kerana sogokan wang ringgit.

Katanya, isu kaum semakin tegang, penghinaan terhadap Islam, Raja-Raja Melayu dan umat Melayu bertambah menjadi-jadi.

“Ini belum termasuk isu sosial seperti rakyat hilang pekerjaan dan pengangguran, pencabulan terhadap Asas Perlembagaan Negara serta lain-lain perkara bertali arus yang mengugat negara.

“Putra bimbang, apakah kepimpinan politik negara sekarang mampu menangani kelangsungan hidup rakyat dengan selamat, makmur dan keselamatan serta keamanan negara terjamin.

“Ibarat kata pepatah, ‘sediakan payung sebelum hujan’, maka parti Putra menaruh harapan dan keyakinan penuh kepada kebijaksanaan, kewibawaan dan ketegasan peranan baginda Yang di-Pertuan Agong bersama Majlis Raja-Raja Melayu sebagai tonggak dan payung negara,” ujar beliau.

Kata Ibrahim lagi, jika keadaan makin tidak terkawal dengan suasana politik yang ada, pilihan terakhir ialah meletakkan negara di bawah ‘Peristiharan Darurat’ secara sukarela sebelum nasi menjadi bubur.

Jelas beliau, Perisytiharan Darurat selama tiga tahun sebelum kembali semula kepada Sistem Demokrasi Berparlimen untuk PRU-15.

“Pengiystiharan Darurat bererti menyerahkan kuasa pentadbiran negara di bawah Majlis Gerakan Negara (Mageran) seperti yang berlaku pada 13 Mei 1969, yang mana Parlimen perlu digantung dan parti politik dibekukan atau ‘lockdown’ untuk tempoh tiga tahun.

“Tempoh ini digunakan untuk kembali semula ke ‘papan hitam atau drawing board’ bagi membuat pembetulan serta mencari penyelesaian terhadap semua masalah negara.

“Masalah negara yang dihadapi kini tidak mungkin boleh diselesaikan dengan kepimpinan politik yang kehilangan wibawa dan melalui peti undi,” tegasnya.

Beliau berkata, negara memerlukan pembedahan bagi mengubati penyakit yang semakin parah ini.

Katanya, apakah mungkin selepas Mageran, apabila kembali kepada demokrasi berparlimen, sudah tiba masanya Malaysia mengamalkan “Sistem Dua Gabungan Parti”.

“Di mana Dasar-Dasar Nasional didokong oleh dua gabungan parti bertunjangkan Perlembagaan Negara yang tidak boleh lagi disentuh atau digugat perkara-perkara Asas Negara.

“Politik dan kebebasan adalah untuk persaingan memilih mana satu antara dua gabungan parti untuk rakyat pilih parti berwibawa yang menjamin “good governance” dan program pembangunan ekonomi serta lain-lain, mana yang terbaik dan calon yang diyakini pengundi,” katanya.

Sehubungan itu, katanya, cadangan parti Putra untuk bersama semua pihak berfikir secara rasional demi masa depan rakyat berbilang kaum dan kestabilan politik negara. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast