Seorang lelaki warga Pakistan yang bekerja sebagai tukang gunting rambut di Setapak disahkan positif Covid-19 hari ini selepas berita mengenainya tular semalam.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Peniaga-peniaga yang terlibat dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mikro perlu bijak mengambil dan memanfaatkan peluang-peluang yang ada dalam pasca Covid-19 demi kelangsungan perniagaan masing-masing.

Pendekatan itu penting kerana dunia mengalami perubahan drastik selepas penularan wabak Covid-19.

Pengerusi Hal Ehwal Usahawan Persatuan Alumni UiTM Malaysia, Ahmad Muzakkir Hamid berkata, setiap jenis perniagaan perlu dikaji semula jika sudah lagi tiada sambutan atau perlu penambahbaikan supaya perniagaan dapat bertahan.

Ini selari dengan pandangan para penganalisis ekonomi bahawa dunia mengambil masa panjang, selewat-lewatnya tiga tahun untuk kembali pulih.

”Kita sebagai usahawan dan peniaga perlu berfikiran positif dan melihat ke hadapan supaya perniagaan yang diusahakan tidak mengalami kerugian berpanjangan.

”Kini terdapat lebih 900,000 PKS dan 600,000 lebih darinya adalah PKS mikro. Sebagai usahawan, janganlah bergantung harap kepada bantuan kerajaan 100% kerana prasarana dan bantuan tersebut hanyalah sebagai pemacu untuk kita bergerak sahaja,” katanya.

Ahmad Muzakkir Hamid

Oleh itu, para peserta PKS mikro perlu memiliki motivasi dan kreatif untuk memajukan perniagaan masing-masi

Sebagai contoh, pemilik-pemilik kedai gunting rambut, jika dibenarkan beroperasi mungkin berdepan dengan pelanggan akan ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan mereka, oleh itu mereka perlu memikirkan strategi lain yang boleh meyakinkan pelanggan.

Mereka perlu mewujudkan kelainan dalam mendapat kepercayaan pelanggan selain mengukuhkan prosedur standard operasi yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Peniaga juga boleh bertindak menukar perniagaan kepada yang lain yang difikirkan sesuai dengan kapasiti, kedudukan kewangan dan ilmu dalam perniagaan lain.

“Usahawan perlu bijak mengatur kelangsungan perniagaan ketika dunia berada dalam normal baharu. Andai kata apa yang kita usahakan tidak berhasil jangan cepat mengalah tetapi terus berjuang hingga berjaya,” tambahnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast