Majikan tidak dibenarkan memaksa pekerja menjalani kuarantin selama 14 hari dalam masa yang sama menolak cuti atau gaji mereka selepas berlaku rentas negeri atas urusan kerja atau peribadi yang dibenarkan pihak berkuasa.- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Memasuki hari pertama pergerakan rentas negeri bagi pemohon Gerak Malaysia, keadaan aliran trafik di beberapa lebuh raya utama dan kawasan plaza tol menghala keluar dari ibu negara adalah lancar setakat 1 tengah hari ini.

Orang ramai yang terkandas di Kuala Lumpur berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas, kini dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing di negeri lain sekitar Semenanjung bermula hari ini.

Jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) berkata pihaknya menjangkakan 300,000 kenderaan akan menggunakan lebuh raya utama sepanjang tempoh pergerakan rentas negeri dilaksanakan sehingga Ahad ini.

“Pada pagi ini, kita dapati lebuh raya utama seperti Lebuhraya PLUS, Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT2, serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) masih lancar dan tiada kesesakan dilaporkan.

“Namun, kita menjangkakan aliran trafik akan bertambah pada sebelah petang iaitu selepas waktu berbuka puasa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati pergerakan trafik di Plaza Tol Jalan Duta arah utara,  Plaza Tol Sungai Besi arah selatan dan Plaza Tol Gombak menuju Pantai Timur lancar setakat 1 tengah hari ini.

Tinjauan tersebut turut mendapati orang ramai memilih untuk memulakan perjalanan selepas pukul 10 pagi, iaitu selepas waktu puncak untuk ke destinasi masing-masing.

Seorang pengguna Tol Jalan Duta, Hayati Roslan, 37, berkata beliau yang terkandas di Kuala Lumpur telah merancang perjalanannya ke Baling, Kedah secara rapi.

“Saya ikut saranan pihak berkuasa untuk tambah nilai dan isi minyak penuh sebelum memulakan perjalanan. Saya anggarkan perjalanan saya akan makan masa lima jam tapi saya bawa siap-siap makanan ringan untuk berbuka sekiranya jalan sesak.

“Sudah dekat dua bulan saya tak pulang sebab Perintah Kawalan Pergerakan ini. Betul-betul sebelum pengumuman PKP, saya datang ke Kuala Lumpur untuk lawat saudara di sini,” katanya kepada Bernama.

Sehingga semalam, sebanyak 143,516 permohonan menerusi aplikasi Gerak Malaysia telah diluluskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mereka yang ingin melakukan rentas negeri untuk pulang ke kediaman masing-masing selepas terkandas di lokasi semasa berikutan penguatkuasaan PKP.

— BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast