Gambar Hiasan. foto HAZROL ZAINAL, 21 MAC 2020.

KUALA LUMPUR – Sebanyak sembilan syarikat telah dikenalpasti memenuhi kriteria Jabatan Tenaga Kerja Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) serta mematuhi syarat Prosedur Operasi Standard (SOP) Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi menyediakan peluang pekerjaan kepada golongan gelandangan.

Antara syarikat tersebut termasuk, Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd, Top Glove Sdn. Bhd, Tesco Malaysia dan Trendcell Sdn Bhd, kata
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, kesemua syarikat berkenaan akan menyediakan kemudahan tempat tinggal, mematuhi Perintah Gaji Minima di bawah Perintah Gaji Minimum 2020, mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan dibawah Akta Kerja 1955.

“Para gelandangan ini juga turut memperoleh kemudahan-kemudahan seperti cuti tahunan, cuti sakit, cuti bergaji, bayaran lebih masa dan lainlain peruntukan di bawah akta ini.

“Perlindungan Perkeso dan caruman KWSP juga menjadi salah satu syarat yang diwajibkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Annuar berkata, Tiga daripada syarikat berkenaan iaitu Adabi Consumer Industries Sdn Bhd, Hartalega NGC Sdn Bhd dan Harumi Brands Sdn Bhd telah membuat saringan temuduga kepada 72 orang gelandangan (lelaki) dan seramai 21 gelandangan telah ditawarkan pekerjaan yang akan mula berkerja pada 13 Mei 2020.

Manakala, baki 51 orang akan ditemuduga oleh majikan lain dalam masa terdekat ini.

Dalam pada itu Annuar menjelaskan, dijangka program penempatan pekerjaan oleh Jabatan Tenaga Kerja WPKL akan
memberikan peluang pekerjaan kepada lebih 300 orang gelandangan bagi fasa pertama.

Tan Sri Annuar Musa

Pada masa sama ujarnya, sebuah syarikat pembuatan sarung tangan sedang mengusahakan satu progam khas yang membolehkan kerja-kerja pembungkusan barangan dibuat Pusat Transit Gelandangan Kuala Lumpur dan di Anjung Singgah yang mana 70 orang gelandangan bakal menyertai program khas tersebut.

“Hasrat saya adalah untuk memastikan golongan gelandangan ini mempunyai kehidupan yang lebih baik dan tidak kembali kepada kehidupan bergelandangan selepas ini,” tambah beliau. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Tahniah kpd syarikat dan seluruh perniagaan yg mmberi peluang kpd warga gelandangan ini.

Comments are closed.