Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Kementerian Pengangkutan mewujudkan sebuah portal bagi memudahkan proses pendaftaran
terhadap permohonan Bantuan Prihatin Pemandu Bas Pelancong atau Persiaran.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, portal berkenaan dibangunkan selepas menyedari permasalahan yang dihadapi oleh hampir 10,000 pemandu serta 1,000 syarikat pengangkutan awam tersebut yang terjejas akibat pandemik Covid-19.

Selain itu katanya, langkah ia merupakan keprihatinan pihak kementerian yang turut menyedari industri pelancongan antara yang paling terjejas akibat wabak tersebut.

“Sebagai sebuah Kerajaan yang prihatin rakyat, sukacita dimaklumkanbahawa Kementerian Pengangkutan telah mewujudkan satu portal (https://prihatin.mot.gov.my/ ) untuk memudahkan proses pendaftaran permohonan Bantuan Prihatin Pemandu Bas Pelancong/Persiaran,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Wee Ka Siong

Justeru, syarikat pelancongan yang memiliki Lesen Perniagaan Pengendalian Pelancongan / Perniagaan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) yang masih dalam tempoh sah laku dengan Kementerian Pelancongan Malaysia serta mempunyai lesen kenderaan berdaftar dengan Agensi Pengangkutan
Awam Darat (APAD) layak untuk mengisi butiran pemandu masing-masing di dalam portal tersebut, katanya.

Menurut Ka Siong lagi, butiran yang perlu dimuatnaik di dalam portal itu merangkumi maklumat mykad, maklumat lesen serta akaun bank pemandu.

Ujarnya, syarikat akan diberi masa dua minggu dari tarikh 8 Mei iaitu tarikh pelancaran portal itu untuk mengisi butiran pemandu.

Tambah beliau, setelah butiran pemandu diisi oleh syarikat, senarai pemandu itu akan disaring untuk memenuhi syarat-syarat iaitu pemandu mestilah warganegara Malaysia, pemandu perlu berstatus lantikan tetap oleh syarikat bas pelancong/persiaran (mempunyai caruman PERKESO) dan memiliki Lesen Vokasional (PSV), Lesen E atau lesen memandu yang berkenaan yang masih dalam tempoh sah laku dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). – MalaysiaGazette