Anggota polis memeriksa dokumen perjalanan yang disahkan oleh PDRM dalam sekatan jalanraya berikutan kerajaan membenarkan orang ramai yang terkandas di kampung atau tempat lain untuk pulang ke rumah masing-masing dengan pergerakan bermula dari Kuala Lumpur semasa tinjauan lensa Malaysia Gazette di Genting Sempah, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK, 07 MEI 2020.

KUALA LUMPUR – Pergerakan rentas negeri yang dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat hari bermula semalam berjalan dalam keadaan yang lancar dan memuaskan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ramai pengguna memanfaatkan perkara itu dengan mengambil kesempatan bertolak awal pagi selepas bersahur.

Beliau berkata, orang ramai mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM) terutamanya ketika berada di kawasan rehat dan rawat.

“Bagi pergerakan rentas negeri hari ini, PDRM telah memberi 70,538 kebenaran bagi mereka yang berada di Perak, Johor dan Kelantan untuk pulang ke kediaman masing-masing.

“Esok pula sebanyak 54,151 kebenaran telah dikeluarkan bagi pergerakan rentas negeri yang melibatkan mereka yang berada di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Melaka dan Pahang,” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Putrajaya hari ini.

Ismail Sabri berkata, PDRM telah membuat 41,541 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB di seluruh negara.

Katanya, sehingga semalam sebanyak 3,832 pasar raya, 2,700 restoran dan 1,471 kilang serta 752 bank telah diperiksa.

Ujarnya, pemeriksaan juga telah dibuat di 652 terminal pengangkutan darat,    78 terminal pengangkutan air dan
90 terminal pengangkutan udara.

Pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah memeriksa sebanyak 20,221 buah kenderaan persendirian dan 1,261 kenderaan awam. Turut diperiksa adalah 1,309 pasar awam,  2,196 tempat ibadah, 980 tempat riadah dan 485 tapak binaan, katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Ismail memberitahu, sebanyak 91 operasi sanitasi meliputi 26 Zon Merah dan Kuning di 11 negeri, termasuk 33 operasi di Johor dan 16 operasi di Sabah.

“Sehingga kini, operasi sanitasi telah merangkumi 3,058 bangunan kerajaan, 2,069 tempat awam, 2,299 pusat perniagaan, 1,541 kawasan perumahan termasuk PPR dan 323 pasaraya.

“KPKT juga telah melakukan 811 operasi sanitasi kenderaan yang mana 4,313 pelbagai jenis kenderaan telah disanitasi. Sebanyak 3,732 bas, 10 lori, 400 van, 167 kereta dan 4 feri telah disanitasi sehingga 7 Mei,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri memaklumkan, seramai 6,517 pelajar
Institusi Pengajian Tinggi (IPT) awam dan swasta telah dihantar pulang ke kampung halaman masing-masing.

Katanya, ia melibatkan 1,018 pelajar di zon Perak ke kampung halaman di mereka di zon selatan dan 1,549 pelajar di zon tengah ke zon utara.

Tambahnya, seramai 1,818 pelajar di Zon Selatan telah dihantar pulang ke kampung halaman di zon timur serta 685 pelajar di zon tengah ke zon selatan manakala, sebanyak lapan penerbangan telah dijadualkan untuk menghantar pulang 1,229 pelajar. – MalaysiaGazette