Donald Trump. foto Agensi

WASHINGTON – Presiden Donald Trump pada Khamis berkata beliau dan semua kakitangan Rumah Putih akan menjalani ujian saringan Covid-19 setiap hari.

Beliau berkata langkah itu diambil berikutan seorang valet didapati dijangkiti virus itu awal minggu ini.

Bercakap kepada media di Pejabat Oval, beliau berkata “saya tidak terlalu kerap berurusan dengannya. Setakat ini saya telah dua kali menjalani saringan sejak Rabu, kedua-duanya negatif,” lapor agensi berita Anadolu.

Jurucakap Rumah Putih Hogan Gidley pada Khamis berkata valet itu merupakan anggota unit tentera elit dan bertugas untuk presiden serta keluarganya.

Trump menjalani saringan Covid-19 yang pertama pada Mac dan sekali lagi pada April, kedua-duanya negatif. Tetapi berita terbaru melaporkan beliau berisiko untuk dijangkiti virus berkenaan.

COVID-19 telah menjangkiti lebih 1.2 juta penduduk Amerika dan lebih 75,000 lagi maut, menjadikan AS negara paling teruk dilanda wabak itu.- BERNAMA