Ahmad Amzad meluangkan masa menziarahi Azlan di kediamannya di Kuala Terengganu, di samping bertanya khabar dan berdoa semoga diberi kesembuhan.

KUALA LUMPUR – Penderitaan penyakit gout yang dihidapi bekas jurugambar akhbar Utusan Malaysia Terengganu, Azlan Baharum mendapat perhatian Timbalan Menteri Menteri Sains, Tenaga dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim.

Azlan, 36, yang menderita penyakit itu sejak berusia 19 tahun, terlantar di rumahnya di Kuala Terengganu kerana sakitnya semakin serius.

Beliau yang kehilangan kerja selepas Utusan Melayu Berhad ditutup Oktober tahun lalu, terlantar di rumah kerana kedua tangannya tidak lagi berfungsi dengan baik.

Sebaik menerima perkhabaran duka itu, Ahmad Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu meluangkan masa menziarah Azlan untuk bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan.

Selain menghidap penyakit gout, Azlan juga turut disahkan menderita penyakit buah pinggang kronik tahap empat.

Menurut Ahmad Amzad, beliau sayu melihat keadaan Azlan, di mana kedua-dua tangannya mengerekot tidak berfungsi.

“Dia juga tidak boleh bangun atau berjalan seperti biasa. Keadaan ini, menghalangnya dari bekerja. Saya sedih dengan ujian yang menimpa saudara Azlan,” katanya.

Beliau turut memberikan kata-kata semangat kepada pihak keluarga Azlan agar terus tabah dalam menghadapi situasi yang sukar.

Ahmad Amzad juga menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga Azlan bagi meringankan beban yang dihadapi mereka.

“Bersama kita doakan agar Allah memberikan kesembuhan kepada Azlan untuk terus menabur khidmat bakti dalam dunia penerangan dan kewartawanan dalam negara.

“Sesungguhnya di sebalik ujian ini adanya satu hikmah yang amat besar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast