Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Suzuki Swift dinaiki mereka dari Teluk Sisek menghala ke bandar, hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke kiri jalan dan merempuh kedai.

KUANTAN – Dua lelaki maut manakala dua lagi cedera selepas kereta dinaiki mereka terbabas dan merempuh deretan kedai di Jalan Besar di sini pada 7.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata mangsa P. Kalai Vaanan, 35, dari Bidor, Perak dan M. Praveendran, 18, dari Bukit Setongkol di sini maut di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Mangsa yang cedera ialah Minggan Lajang, 25, dari Julau, Sarawak, yang dilaporkan parah di kepala manakala P. Mogan Raj, 20, dari Kampar, Perak, luka di kepala dan paha.

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila kereta Suzuki Swift dinaiki mereka dari Teluk Sisek menghala ke bandar, hilang kawalan menyebabkannya terbabas ke kiri jalan dan merempuh kedai.

“Kalai Vaanan merupakan pemandu kereta itu manakala Praveendran dilaporkan duduk di tempat duduk belakang,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohamad Noor berkata kemalangan itu menyebabkan mangsa tersepit dalam kenderaan yang kemik teruk sehingga pihaknya perlu memanggil bomba bagi mengeluarkan mangsa.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat esok.

— BERNAMA